DAP gesa AGC perjelas keputusan bebas remaja kepada keluarga mangsa tikam

DAP menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) segera mengatur taklimat rasmi bersama keluarga remaja yang maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, susulan pembebasan remaja lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuhnya.
Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching, berkata pihak pendakwaan perlu melaksanakan keadilan jenayah secara berperikemanusiaan dengan menjelaskan beberapa perkara penting kepada keluarga dan peguam mereka.
“Keluarga berhak mendapat penjelasan menyeluruh mengenai sebab mahkamah membuat keputusan itu berdasarkan bukti perubatan, serta maksud sebenar perintah mahkamah supaya tertuduh ditahan di bawah Seksyen 348 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata AGC juga mesti menasihati keluarga sama ada pihak pendakwaan berhasrat memfailkan rayuan serta menjelaskan asas atau batasan undang-undang untuk berbuat demikian.
Teo, yang juga timbalan menteri komunikasi, berkata keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, malah mesti difahami dan dirasai dengan jelas oleh mereka yang mengalami kehilangan paling besar.
“Jangan biarkan keluarga mangsa terpaksa menghadapi kesan daripada keputusan mahkamah yang rumit seorang diri atau hanya melalui tajuk berita,” katanya.
Semalam, ibu mangsa berusia 16 tahun itu menggesa orang ramai menandatangani petisyen yang meminta AGC merayu terhadap pembebasan tertuduh.
Ibu Yap Shing Xuen, Wong Lee Ping, berkata ruang perundangan keluarga adalah terhad kerana keputusan untuk memfailkan rayuan dan cara ia perlu dilakukan akhirnya terletak pada pihak pendakwaan.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin membebaskan remaja lelaki itu selepas mendapati dia tidak siuman ketika kesalahan tersebut dilakukan.
Bagaimanapun, Hakim Adlin Abdul Majid memerintahkan remaja itu ditahan atas perkenan Sultan Selangor di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, untuk menjalani rawatan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.