2 rentung di Temerloh, pemandu lori tangki direman

Pemandu lori tangki yang terbabit nahas mengakibatkan dua individu maut di KM9 Jalan Temerloh–Triang, dekat Kampung Lebak, semalam, direman empat hari.
Ketua Polis Temerloh Mohd Nasyim Bahron, berkata lelaki berusia 37 tahun itu direman hingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap pemandu berkenaan mendapati lelaki itu negatif dadah,” katanya menurut Bernama.
Dalam kejadian sekitar 4 petang itu, dua beranak dipercayai ibu dan anak terbunuh selepas kereta mereka dihempap lori tangki itu yang bermuatan 32,000 liter bahan api.
Pengesahan identiti dua mangsa akan dijalankan melalui perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) waris dengan bantuan Jabatan Kimia.
Sebelum ini, Nasyim dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati lori tangki tersebut dari Seremban menghala ke Temerloh dipercayai hilang kawalan dengan masuk laluan bertentangan, lalu menghempap kereta berkenaan sebelum dua kenderaan itu terbakar.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.