The Daily Newsstand · Free, Always
Friday, September 11, 2026

Sebat scammer tak cukup, kerajaan perlu ‘patahkan’ rangkaian sindiket, kata pakar

Translate

Hukuman sebat terhadap scammer mungkin memberi kesan pencegahan, tetapi tidak cukup untuk menumpaskan sindiket penipuan dalam talian yang kompleks dan beroperasi merentas sempadan, kata pakar keselamatan siber.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, berkata keberkesanan hukuman lebih berat bergantung kepada keupayaan pihak berkuasa memastikan pelaku benar-benar ditangkap, didakwa dan dihukum.

Katanya, kebanyakan tangkapan di Malaysia membabitkan pemilik akaun keldai yang bertindak sebagai perantara bawahan, sedangkan dalang utama sindiket boleh terus beroperasi dari luar negara.

“Perantara bawahan ini mudah diganti dan dieksploitasi selagi aliran keuntungan haram dapat dialihkan dengan pantas.

“Mengenakan hukuman fizikal ke atas keldai akaun tidak akan melumpuhkan sindiket,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail yang mencadangkan kerajaan meminda undang-undang lapuk dan mengenakan hukuman lebih berat, termasuk sebat, terhadap penjenayah penipuan dalam talian.

Mengulas lanjut, Siraj berkata usaha pencegahan perlu menumpukan tindakan memutuskan laluan pengubahan wang haram serta menutup ruang teknologi yang mudah dieksploitasi penjenayah.

Beliau berkata, sektor perbankan menunjukkan kemajuan, termasuk menerusi langkah Bank Negara Malaysia memperkukuh keselamatan digital dan pengesahan transaksi, namun tahap keselamatan sektor telekomunikasi masih perlu dipertingkatkan secara agresif.

Katanya, kelemahan itu termasuk lambakan kad SIM berdaftar palsu di platform e-dagang, penggunaan stesen pangkalan palsu atau fake BTS/IMSI-catcher serta manipulasi gerbang mesej.

“Perkhidmatan telekomunikasi masih terlalu rapuh dan menjadi instrumen utama eksploitasi penjenayah siber,” katanya yang turut mencadangkan pemerkasaan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Sementara itu, aktivis keselamatan siber Aaron Mokhtar berkata hukuman sebat bukan langkah yang salah dari sudut simbolik, tetapi tidak memadai sebagai strategi utama membendung jenayah siber.

“Lebih berkesan dengan menyasarkan rangkaian kewangan dan akaun keldai yang digunakan untuk memindahkan wang hasil penipuan.

“Usaha itu perlu disokong dengan pengukuhan kerangka undang-undang dan penguatkuasaan siber, selain kerjasama antarabangsa serta diplomatik,” katanya.

Berbeza dengan Siraj dan Aaron, pakar keselamatan siber Fong Choong Fook menyokong hukuman sebat dengan alasan sindiket penipuan tidak lagi gentar terhadap hukuman berbentuk kewangan.

“Hukuman yang lebih berat akan menjadi faktor pencegah yang jauh lebih kuat. Penipu pada masa kini tidak begitu bimbang tentang pembayaran ganti rugi kewangan kerana mereka mampu membayar ganti rugi tersebut,” katanya.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.