Sekurang-kurangnya 18 penerbangan Eropah terima ancaman bom

Sekurang-kurangnya 18 penerbangan komersial di seluruh Eropah dilaporkan menerima ancaman bom pada Khamis, menyebabkan beberapa pesawat terpaksa melakukan pendaratan cemas, mengubah laluan serta menjalani pemeriksaan keselamatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Insiden itu membabitkan beberapa syarikat penerbangan termasuk Ryanair, Wizz Air, LOT Polish Airlines, Finnair, Jettime, KLM dan Aer Lingus.
Di Perancis, sebuah pesawat Airbus A320 milik Aer Lingus yang dalam perjalanan dari Dublin ke Rom dilencongkan ke pangkalan udara di Evreux, Normandy, susulan ancaman bom.
Pesawat yang membawa 151 penumpang dan enam anak kapal itu mendarat dengan selamat sebelum diperiksa pasukan pemusnah bom tentera Perancis.
Di Itali, sebuah pesawat Finnair dari Helsinki ke Rom diiringi jet pejuang Tentera Udara Itali ke Lapangan Terbang Fiumicino susulan ancaman sama.
Pesawat itu mendarat dengan selamat dan menjalani pemeriksaan keselamatan, sementara lapangan terbang itu menggantung operasi penerbangan buat sementara waktu selama kira-kira 30 minit, menurut agensi berita Itali, ANSA.
Ancaman bom turut melibatkan dua penerbangan lain yang menuju ke Milan Malpensa; pesawat-pesawat itu tidak dilencongkan dan mendarat mengikut jadual, iaitu penerbangan Aegean Airlines yang berlepas dari Thessaloniki, Greece, dan penerbangan Ryanair yang berlepas dari Porto, Portugal.
Satu lagi penerbangan Finnair dari Helsinki ke Vienna, yang dikendalikan oleh Jettime, turut menerima ancaman bom tetapi mendarat mengikut jadual.
Sementara itu, tiga penerbangan Ryanair menuju ke Sofia, Bulgaria turut menerima ancaman bom, menyebabkan Tentera Udara Bulgaria mengerahkan jet pejuang MiG-29.
Di Republik Czech, polis melaporkan ancaman bom membabitkan empat penerbangan menuju ke Prague, namun menilai ancaman itu sebagai kurang berasas dan tetap melaksanakan prosedur keselamatan.
Ancaman serupa turut dilaporkan membabitkan penerbangan di Austria, Romania, Belgium, Poland dan Denmark, dengan beberapa pesawat menjalani pemeriksaan keselamatan selepas mendarat.
Menurut laporan media Itali, satu emel ancaman yang dihantar ke Lapangan Terbang Fiumicino mendakwa bahan letupan diletakkan dalam dua penerbangan menuju ke Rom.
Emel itu ditandatangani kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Fighters of the Male State’, yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan kandungan berunsur perkauman dan kebencian terhadap wanita.
Kumpulan ini menjadi tumpuan agensi keselamatan dan perisikan, serta disenaraikan oleh Rusia sebagai kumpulan pelampau dan pengganas yang diharamkan, lapor media Itali itu.
Laporan awal berhubung emel ancaman bom yang dihantar ke lapangan terbang di Itali itu akan dikemukakan kepada pihak pendakwa raya berkaitan.
Perkhidmatan Perisikan Romania (SRI) menyatakan bahawa dua lagi ancaman bom telah menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Henri Coanda di Bucharest, susulan insiden serupa yang berlaku lebih awal pada hari yang sama, menurut laporan media tempatan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.