PAS masih perlu BN untuk raih undi bukan Melayu, kata penganalisis

PAS masih bergantung kepada Barisan Nasional (BN) untuk meraih sokongan pengundi bukan Melayu, kata penganalisis yang mempersoalkan dakwaan Hadi Awang bahawa parti itu semakin diterima golongan bukan Islam.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata keputusan PRN Melaka tidak memberikan petunjuk jelas peningkatan sokongan pengundi bukan Melayu terhadap calon PAS.
Sebaliknya, katanya, kemenangan BN di Gadek, Pengkalan Batu dan Duyong, yang turut ditandingi DAP, memberi petunjuk sebahagian pengundi bukan Melayu beralih sokongan kepada BN.
“Tapi kalau nak dikatakan bahawa pengundi bukan Melayu sekarang mengundi calon BN terutama sekali daripada MCA, itu boleh dibuktikan bukan sahaja di Melaka tetapi juga di Johor,” katanya kepada FMT.
Azmi berpandangan, kemenangan calon PAS pada PRN Negeri Sembilan dan Melaka di kawasan mempunyai ramai pengundi bukan Melayu turut dibantu sokongan penyokong BN, sekali gus menunjukkan kepentingan kerjasama dengan gabungan itu dalam menarik undi golongan berkenaan.
Semalam, Hadi mendakwa PAS semakin mendapat sokongan golongan bukan Islam yang disifatkannya sebagai ‘tidak ekstrem’, dengan kemerosotan sokongan terhadap DAP dalam beberapa PRN dijadikan antara petunjuknya.
Presiden PAS itu turut menyatakan keyakinan partinya mampu menewaskan Pakatan Harapan (PH) pada PRU16 berdasarkan prestasi dalam beberapa PRN kebelakangan ini.

Sementara itu, Lau Zhe Wei daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga tidak melihat petunjuk jelas masyarakat bukan Islam, khususnya kaum Cina, mula beralih sokongan kepada PAS.
Katanya, beberapa kenyataan Hadi yang menyentuh sensitiviti masyarakat Cina kebelakangan ini juga tidak dilihat mampu mengubah persepsi golongan itu terhadap PAS.
Bagaimanapun, Lau berkata PAS tidak semestinya memerlukan peningkatan sokongan pengundi bukan Melayu untuk mencabar PH pada PRU16.
Menurutnya, penggabungan undi Melayu daripada BN dan Perikatan Nasional (PN) boleh memberi kelebihan kepada pakatan itu dalam persaingan dengan PH di kerusi campuran.
“Tapi nak kata masyarakat bukan Melayu dah mula menyokong PAS itu saya tak setuju,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.