Kelantan sah tamatkan khidmat Kamarudin sebagai exco

Kerajaan Kelantan mengesahkan pelantikan Kamarudin Md Nor sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) tidak disambung, berkuat kuasa 9 Nov lalu.
Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan berkata keputusan membabitkan ketua Bersatu Kelantan itu mendapat perkenan Sultan Kelantan.
Susulan keputusan berkenaan, portfolio pelancongan dan kesenian yang sebelum ini disandang Kamarudin akan dipangku Hilmi Abdullah, manakala portfolio warisan dan kebudayaan dipangku Zamakhsyari Mohamad.
Menurut Mohamed Fadzli, perubahan itu berkuat kuasa serta-merta.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Adun Ayer Lanas atas khidmatnya sepanjang menganggotai pentadbiran kerajaan negeri.
“Amanah yang telah diberikan dapat dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab,” katanya kepada FMT.
Semalam, Kamarudin mengesahkan menerima surat penamatan pelantikannya sebagai exco, namun enggan mendedahkan kandungan surat berkenaan buat masa ini.
Khabar angin mengenai kemungkinan khidmatnya ditamatkan mula tersebar sejak awal minggu ini, ketika hubungan politik antara PAS dan Bersatu terus bergolak.
Perkembangan itu menyusul keretakan kerjasama antara kedua-dua parti komponen Perikatan Nasional (PN) berkenaan, selepas PAS mengumumkan pada 8 Jun lalu keputusan menamatkan semua kerjasama politik dengan Bersatu.
Kamaruddin dilantik sebagai exco kerajaan Kelantan pada Ogos 2023.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.