Berarak ke Parlimen tuntut keadilan untuk lelaki mati dalam tahanan

Ahli keluarga dan penyokong Noorizwan Zulkefly akan berarak ke Parlimen esok bagi menuntut keadilan atas kematiannya dalam tahanan polis serta mendesak penubuhan segera Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis.
Perarakan anjuran Lawyers for Liberty (LFL) itu akan disertai keluarga dan rakan Noorizwan, pertubuhan masyarakat sivil, peguam serta rakyat prihatin. Mereka akan menyerahkan memorandum kepada ahli Parlimen bagi menuntut pihak berkaitan dipertanggungjawabkan.
Pengarah LFL, Rania Aljunied, berkata siasatan kes itu belum diklasifikasikan kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan tiada pegawai polis digantung tugas atau ditahan selepas kematian Noorizwan dalam tahanan polis pada 1 Okt lalu.
“Keadilan belum ditegakkan,” katanya dalam makluman kepada media.
Perarakan itu dijadualkan bermula di Taman Tugu pada 10.30 pagi sebelum bergerak ke Parlimen.
Noorizwan, 42, ditahan pada 19 Sept lalu berhubung siasatan kes memiliki dadah, kecurian dan pecah rumah.
Dia ditahan di IPD Cheras, sebelum dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HUKM) pada 30 Sept lalu dan disahkan meninggal dunia keesokannya.
Perarakan esok diadakan susulan pertikaian berhubung dapatan siasatan ke atas kematian Noorizwan.
Semalam, Rania dan peguam LFL, Dina Zamri, mempertikaikan kenyataan Bukit Aman mendakwa Noorizwan mengalami kecederaan luaran tetapi tiada pendarahan dalaman serta punca kematiannya masih menunggu analisis makmal.
Mereka berkata, bedah siasat dijalankan pakar patologi HUKM mendapati lelaki itu mengalami pendarahan menyeluruh dalam otak serta pendarahan dalam usus, selain pakar patologi telah menentukan punca kematian Noorizwan disebabkan trauma akibat hentakan objek tumpul di kepala.
Mereka turut mempersoalkan kenapa kes itu masih diklasifikasikan kematian mengejut dan menggesa Peguam Negara, Dusuki Mokhtar campur tangan serta mengarahkan ia disiasat sebagai kes bunuh, selain meminta sebuah pasukan khas ditubuhkan di Bukit Aman bagi mengambil alih siasatan berkenaan.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, telah mengarahkan Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, memastikan siasatan menyeluruh dan telus dijalankan berhubung kematian Noorizwan.
Semalam, Khalid mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyiasat kematian itu dan berkata terdapat “beberapa kecederaan luar biasa” pada tubuh tahanan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.