Pembatalan PN buka lebih ruang kerjasama PAS-Umno, kata Hashim

Pembatalan Perikatan Nasional (PN) dilihat lebih menguntungkan PAS kerana ia membuka lebih ruang kepada parti itu untuk terus fokus bekerjasama dengan Umno, kata Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.
Katanya, Bersatu paling terjejas dengan pembatalan itu kerana selama ini parti itu hanya bergantung kepada kekuatan PAS dalam PN, lapor Utusan Malaysia.
“PAS boleh memberi tumpuan terhadap kerjasama dengan Umno yang sememangnya dinantikan oleh rakyat.
“Gabungan atau kerjasama PAS dengan Umno bakal memberi kelebihan besar dalam PRU16. PAS bergabung dengan Umno, lebih senang nak mencapai kemenangan dan tidak perlu lagi bersusah-payah berkempen,” katanya.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran PN pada Selasa selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan dalam notis terdahulu.
Pendaftar bertindak susulan aduan Bersatu yang mendakwa parti itu dinafikan hak untuk menghadiri, bersuara dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.
Pembatalan pendaftaran itu bermakna PN tidak boleh menggunakan logonya dalam PRN Melaka akan datang, walaupun parti-parti komponennya boleh bertanding menggunakan lambang masing-masing.
Bersatu menyifatkan pembatalan pendaftaran itu sebagai bukti kegagalan PAS menguruskan gabungan tersebut secara demokratik dan telus, manakala PAS menyifatkannya sebagai usaha untuk mendahului keputusan mahkamah dan melemahkan pembangkang menjelang PRN Melaka.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.