Malaysia, Mesir kembang kerjasama perdagangan dan pelaburan, teroka bidang baharu

Malaysia dan Mesir akan menumpukan usaha untuk memperluas kerjasama perdagangan dan pelaburan, meningkatkan kesalinghubungan penerbangan serta meneroka bidang baharu ekonomi pada mesyuarat Suruhanjaya Bersama yang dijadualkan pada suku pertama tahun depan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan itu yang dipersetujui oleh menteri luar kedua-dua negara akan menyediakan platform untuk menterjemahkan hubungan dua hala yang semakin berkembang kepada peluang ekonomi yang lebih luas.
Beliau berkata, perdagangan dua hala meningkat sebanyak 74.7% pada tahun ini, namun pertumbuhan itu bermula daripada asas yang rendah, sekali gus memberikan ruang yang luas untuk pengembangan selanjutnya.
“Kita mencapai peningkatan luar biasa ini pada tahun ini, (perdagangan) melonjak kepada 74.7%, namun ia bermula daripada asas yang sangat, sangat rendah,” kata perdana Menteri pada sidang media bersama Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi bersempena dengan lawatan negara beliau selama dua hari ke Malaysia.
Perdana menteri berkata, Malaysia melihat potensi besar untuk memperluas kerjasama dengan Mesir dalam beberapa sektor, termasuk semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), pertanian serta farmaseutikal.
Malaysia juga menyasarkan ekonomi sedang pesat membangun, termasuk negara-negara BRICS, sebagai sumber berpotensi bagi produk farmaseutikal, dengan Mesir antara negara yang mampu memenuhi keperluan tersebut.
“Mesir berpotensi menjadi destinasi untuk mendapatkan bekalan farmaseutikal,” kata Anwar.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.