Hamzah cadang 2 wakil kanan perkukuh suara Asean

Ketua pembangkang Hamzah Zainudin mencadangkan Asean melantik dua wakil peringkat tinggi bagi keamanan dan keselamatan serantau serta perdagangan dan pelaburan untuk memperkukuh suara blok itu di pentas antarabangsa.
Presiden Parti Wawasan Negara berkata dua wakil itu boleh dipilih daripada Majlis Tokoh Terkemuka yang dicadangkan dianggotai bekas pemimpin politik dari seluruh Asean.
“Mengapa tidak kita pertimbangkan sebuah Majlis Tokoh Terkemuka yang dianggotai bekas pemimpin politik dari seluruh Asean?
“Daripada kumpulan itu, Asean boleh melantik dua wakil peringkat tinggi, seorang bagi keamanan dan keselamatan serantau, dan seorang lagi bagi perdagangan dan pelaburan,” katanya ketika berucap pada Lugano Global Forum di Switzerland.
Menurutnya, kedua-dua wakil itu akan bekerjasama dengan pengerusi Asean, setiausaha agung dan menteri sedia ada, berdasarkan mandat dipersetujui kerajaan negara anggota untuk memperjuangkan kepentingan bersama di Eropah, Washington, Beijing dan tempat lain.
Tegasnya cadangan itu bukan bermaksud negara anggota menyerahkan kedaulatan, sebaliknya mencari pendekatan lebih berkesan untuk melaksanakan hak tersebut secara bersama.
Hamzah turut merujuk pendekatan Kesatuan Eropah (EU) yang mempunyai wakil tinggi bagi dasar luar dan pesuruhjaya perdagangan untuk mewakili kepentingan bersama, meskipun negara anggotanya tidak sentiasa sependapat.
“Asean tidak perlu menjadi seperti EU. Sejarah dan institusi kita berbeza. Namun, kekuatan ekonomi kita semakin berkembang. Tidakkah suara kolektif kita juga sepatutnya berkembang seiring?” katanya.
Beliau berkata 11 negara Asean kini mempunyai hampir 700 juta penduduk dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) gabungan melebihi USD4 trilion, selain mencatat pertumbuhan ekonomi 4.9% dan menarik hampir USD250 bilion pelaburan asing pada 2025.
Bagaimanapun, perdagangan barangan sesama negara Asean hanya sekitar 20% berbanding kira-kira 60% dalam EU, justeru beliau mahu urusan perdagangan barangan dan perkhidmatan antara negara anggota dipermudahkan.
Mengulas persaingan kuasa besar, katanya Asean mengalu-alukan perdagangan dan kerjasama dengan semua pihak, namun tidak mahu persaingan mereka dibawa masuk ke negara, institusi atau politik domestik rantau ini.
“Jika kedaulatan dicabar atau hak kita di bawah undang-undang antarabangsa terancam, keputusan mesti dibuat. Ia mungkin membawa kos ekonomi.
“Tetapi, keputusan itu mesti dibuat oleh kita sendiri, bukan ditentukan bagi pihak kita di ibu negara lain,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.