Mahkamah Tinggi putuskan ejen gaji tak bertanggungjawab dalam saman buang kerja

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat lalu menolak tuntutan seorang wanita berhubung pembuangan kerja secara tidak sah terhadap sebuah agensi pekerjaan, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Perusahaan sebelum ini.
Dalam penghakimannya, Hakim Alice Loke memutuskan syarikat terbabit, Great Pyramid Sdn Bhd bukan majikan Chin Siang Tean dan oleh itu, tidak mempunyai kuasa untuk memberhentikannya.
Hakim berkata, majikan sebenar Chin ialah GenScript Biotech Pte Ltd, sebuah syarikat berpangkalan di Singapura.
Loke, yang kini bersidang di Mahkamah Rayuan, berkata tiada alasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Perusahaan. Beliau memerintahkan Chin membayar kos RM5,000 kepada Great Pyramid.
Mahkamah Perusahaan pada 2024 memutuskan walaupun kontrak pekerjaan ditandatangani dengan Great Pyramid, segala kawalan operasi, arahan dan keputusan pemberhentian datang daripada GenScript.
“Syarikat itu hanya bertindak sebagai ejen pembayaran gaji tempatan dan tidak mempunyai kuasa penyeliaan atau disiplin.
“Mahkamah mendapati tiada hubungan majikan-pekerja antara plaintif dengan Great Pyramid,” kata Pengerusi Mahkamah Perusahaan Amrik Singh dalam keputusannya.
Dalam saman itu, Chin berkata dia menerima surat tawaran pertama daripada GenScript dan surat kedua daripada Great Pyramid, dan menerima kedua-duanya.
Beliau turut menandatangani kontrak pekerjaan hanya dengan Great Pyramid tetapi bekerja secara langsung di bawah GenScript. Surat pemberhentian dikeluarkan oleh Great Pyramid.
Chin berkata, tiada klausa dalam kontraknya yang menyatakan Great Pyramid hanya bertindak sebagai penyedia perkhidmatan pembayaran gaji.
Bagaimanapun, Great Pyramid berpendirian GenScript ialah majikan sebenar manakala mereka hanya bertindak sebagai penyedia perkhidmatan pembayaran gaji.
Syarikat itu turut berkata skop kerja, faedah dan keputusan pemberhentian semuanya berada di bawah kawalan GenScript, sambil menambah keputusan untuk memberhentikan Chin dibuat berdasarkan arahan syarikat berkenaan.
Chin mempunyai tempoh sebulan dari tarikh keputusan untuk memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Bhavanash Sharma mewakili Great Pyramid manakala Yeo Jie Hu mewakili Chin.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.