Pemilik diarah bayar PR1MA ganti rugi

Pemilik 86 unit skim perumahan mampu milik diperintah membayar ganti rugi kepada sebuah agensi persekutuan selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru memutuskan tuntutan bagi pampasan tambahan berhubung kelewatan penyerahan melanggar perjanjian penyelesaian sedia ada.
Hakim Wong Mee Ling dalam membenarkan tuntutan balas Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), memerintahkan setiap pemilik unit di Residensi Prima Tebrau membayar ganti rugi nominal RM10,000 kepada agensi itu berserta kos RM5,000.
Pemilik berkenaan sebelum ini memeterai perjanjian penyelesaian dengan PR1MA bagi ganti rugi ditetapkan (LAD) dan telah menerima bayaran penuh, namun bertindak memfailkan saman bagi menuntut pampasan tambahan atas kelewatan penyerahan unit mereka.
Dalam keputusan minggu lalu, Wong berkata sebaik sahaja pihak terlibat melaksanakan sepenuhnya terma perjanjian dan menerima faedahnya, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menarik balik atau menyimpang daripada kompromi yang telah dicapai.
“Surat penerimaan yang (sudah ditandatangani) tersebut membentuk kompromi yang mengikat di bawah Seksyen 64 Akta Kontrak 1950,” katanya.
“Dengan menerima jumlah penyelesaian itu, pihak-pihak plaintif ini (pemilik unit) telah mementerai persetujuan dan pelunasan yang secara efektif melepaskan pihak defendan (PR1MA) daripada liabiliti selanjutnya.”
Tindakan membenarkan pemilik unit meneruskan tuntutan mereka selepas ‘menerima dan menikmati faedah berkenaan’ akan membawa kepada pengayaan tanpa hak, kata hakim.
Wong turut menolak tuntutan LAD oleh pemilik tujuh unit yang bukan sebahagian daripada perjanjian penyelesaian tersebut, dengan menyatakan tuntutan mereka dikekang tempoh had masa di bawah Akta Had Masa 1953. Mereka juga diperintahkan membayar kos RM5,000 setiap seorang.
Kes di hadapan Wong melibatkan penentuan enam persoalan undang-undang yang dikemukakan pihak-pihak yang bertikai.
Pertikaian itu berpunca daripada perjanjian jual beli (SPA) berkanun dimeterai PR1MA dengan pemilik unit antara 2012 hingga 2015, yang menetapkan tempoh penyiapan selama 54 bulan bagi penyerahan pemilikan kosong dan kemudahan bersama, berbanding tempoh lazim 36 bulan.
Saman difailkan pada 2021 tersebut diasaskan atas hujahan bahawa tempoh penyiapan berkenaan telah dilanjutkan secara tidak sah oleh pengawal perumahan dan sepatutnya dikembalikan kepada 36 bulan, seperti diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989.
Wong memutuskan bahawa lanjutan tempoh penyiapan projek perumahan diluluskan pengawal adalah sah dan mengikat pembeli walaupun terdapat perubahan undang-undang selepas itu.
“Justeru, tempoh (penyiapan) 54 bulan ditetapkan dalam SPA kekal sah dan boleh dikuat kuasa. Percubaan plaintif untuk menggantikan tempoh tersebut secara retrospektif dengan tempoh 36 bulan tidak boleh diterima dari sudut undang-undang,” kata Wong.
NG Vinod bertindak bagi pihak pemilik unit, manakala Shahrysham Kamran dan Danish Abdul Rasid mewakili PR1MA.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.