Pemerintah N Sembilan bertindak dalam bidang kuasa batal lantikan exco, kata bekas hakim

Yang Dipertuan Besar bertindak dalam lingkungan kuasa baginda selepas membatalkan pelantikan 10 exco, kata bekas hakim Mahkamah Rayuan, Hishamudin Yunus.
Hishamudin, yang kini pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), berkata Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mempunyai prerogatif diraja membatalkan pelantikan exco berkenaan apabila berdepan ‘situasi luar biasa dan penderhakaan’.
“Seramai 10 exco negeri yang dilantik baginda selepas mengangkat sumpah setia, secara tidak sah, dan bertentangan dengan perlembagaan telah menyeru agar Tuanku Muhriz dilucutkan jawatan sebagai raja pemerintah negeri. Satu tindakan yang tidak terjangkau akal,” katanya dalam kenyataan.
Hishamudin berkata, adalah ‘tidak munasabah’ untuk mendakwa dalam keadaan sedemikian raja pemerintah negeri hilang keupayaan dari segi undang-undang dan hanya boleh memecat ahli exco atas nasihat menteri besar, sedangkan menteri besar sendiri turut menyokong pelucutan jawatan baginda.
Kerajaan Negeri Sembilan telah mewartakan pembatalan pelantikan exco tersebut pada 24 Sept, dengan pemecatan mereka berkuat kuasa 20 Sept.
Pemecatan dibuat seminggu selepas mereka mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan pelucutan jawatan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar. Menteri Besar Ismail Lasim menyokong kenyataan berkenaan sehari kemudian.
Namun, Ismail menegaskan exco yang dipecat itu masih memegang jawatan sah dan akan terus menjalankan tugas masing-masing.
Prerogatif diraja terpelihara
Menurut Hishamudin, prerogatif diraja bagi raja pemerintah terpelihara mengikut Perkara 79 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), yang dibaca bersama Perkara 38(5).
Di bawah Perkara 38(5), seseorang exco, selain menteri besar, hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan raja pemerintah melainkan pelantikan ahli tersebut dibatalkan raja pemerintah atas nasihat menteri besar.
Perkara 79 memperuntukkan bahawa melainkan dinyatakan sebaliknya, UUTKNS tidak akan menjejaskan prerogatif, kuasa, dan bidang kuasa Yang Dipertuan Besar serta Undang Yang Empat.
Hishamudin berkata, kewajipan perlembagaan bagi raja pemerintah untuk bertindak atas nasihat menteri besar tidak bermakna pelantikan seseorang exco hanya boleh dibatalkan atas nasihat sedemikian, tanpa mengira apa jua keadaan.
“Tafsiran sedemikian bermakna sekiranya tiada nasihat daripada menteri besar, exco negeri bebas melanggar sumpah jawatan mereka, serta boleh melakukan tindakan penderhakaan dan hasutan terhadap raja pemerintah negeri tanpa sebarang hukuman.
“Tafsiran seperti itu adalah tidak benar dan hanya akan membawa kepada anarki,” katanya.
Beliau berkata, prerogatif diraja bagi seseorang raja berperlembagaan bersifat tersedia dalam perlembagaan moden bagi menangani situasi yang luar biasa dan mendesak, namun ia perlu dilaksanakan secara berhemat demi mendaulatkan keadilan dan kedaulatan undang-undang.
“Sudah tentu, mekanisme semak dan imbang perlu ada: penggunaan kuasa prerogatif akan dikawal oleh mahkamah.
“Dalam konteks krisis perlembagaan Negeri Sembilan ketika ini, kuasa prerogatif diraja telah dilaksanakan dengan sewajarnya dan secara bijaksana oleh raja pemerintah demi kebaikan negeri,” kata Hishamudin.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.