Kabel hilang, sistem lumpuh: Harga sebenar kecurian yang rakyat tanggung

Kecurian kabel mungkin kedengaran seperti jenayah kecil. Beberapa meter kabel dipotong, tembaganya dijual dan pencuri memperoleh wang tunai.
Tetapi, apabila kabel itu sebahagian daripada sistem pengangkutan, pam tebatan banjir atau bekalan elektrik, kesannya bukan lagi kecil.
Kejadian di Kampung RTB Bukit Changgang, Banting, Jun lalu menunjukkan betapa besarnya akibat yang boleh berlaku apabila satu komponen penting tidak berfungsi pada waktu ia paling diperlukan.
Banjir di kawasan itu berlaku selepas benteng pecah. Namun, satu pam skru yang sepatutnya membantu mengalirkan air tidak dapat digunakan kerana kabelnya dicuri.
Sebanyak 423 mangsa daripada 199 keluarga terpaksa dipindahkan.
Kerajaan Selangor ketika itu menganggarkan kos membaiki kerosakan akibat kecurian berkenaan antara RM200,000 hingga RM300,000.
Yang hilang mungkin hanya kabel, tetapi yang terjejas ialah sebuah sistem yang sepatutnya membantu mengurangkan kesan banjir.
Itulah masalah sebenar yang perlu diberi perhatian.
Pencuri mungkin hanya melihat harga tembaga. Bagi orang ramai pula, kehilangan kabel itu boleh bermakna pam tidak berfungsi, tren tidak bergerak, bekalan elektrik terganggu atau perkhidmatan komunikasi terputus.
Perkara sama berlaku pada 4 Okt apabila kecurian kabel berhampiran Stesen Taman Equine menyebabkan gangguan bekalan kuasa di MRT Laluan Putrajaya.
Sebuah tren tidak dapat bergerak pada awal pagi, menyebabkan perjalanan terganggu dan bas perantara percuma terpaksa disediakan.
Kejadian itu pula berlaku ketika Gulf Air Bahrain Grand Prix berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.
Sebahagian penumpang yang mahu ke Sepang melalui Putrajaya Sentral dinasihatkan menyediakan masa perjalanan tambahan atau menggunakan laluan lain.
Sudah tentu gangguan itu tidak sampai melumpuhkan keseluruhan sistem pengangkutan. Tetapi waktunya cukup untuk menunjukkan bagaimana satu kejadian kecurian boleh memberi kesan lebih luas daripada lokasi kabel itu dipotong.
Ketika Malaysia menerima kedatangan pengunjung dan perhatian antarabangsa kerana acara besar di Sepang, orang ramai pula berdepan gangguan pengangkutan akibat perbuatan mencuri kabel.
Persoalannya, sampai bila perkara seperti ini mahu dianggap sebagai kes terpencil?
Angka yang dilaporkan sebelum ini menunjukkan masalahnya jauh lebih besar.
Pada Ogos, kerajaan mendedahkan kecurian kabel menyebabkan kerugian kira-kira RM50 juta melibatkan rangkaian Keretapi Tanah Melayu Berhad, Prasarana Malaysia Berhad dan projek Laluan Rel Pantai Timur.
Tetapi ada satu lagi persoalan yang jarang diberi perhatian: selepas kabel itu dicuri, ke mana ia pergi?
Kabel tidak mempunyai nilai kepada pencuri sekiranya tiada pihak bersedia membelinya. Sebab itu usaha membanteras kecurian kabel tidak boleh berhenti setakat menangkap orang yang memotong atau melarikan kabel.
Rantaian selepas kecurian juga perlu diperiksa.
Siapa membeli tembaga berkenaan? Adakah transaksi direkodkan? Dari mana datangnya bekalan yang dijual kepada premis besi buruk? Adakah pembeli diwajibkan mengetahui sumber bahan yang diterima?
Selagi hasil curi mudah ditukar kepada wang, kegiatan ini akan terus mempunyai pasaran.
Cadangan supaya pembeli didaftarkan, transaksi direkodkan dan premis besi buruk diaudit secara lebih ketat wajar diberi perhatian.
Pada masa sama, pengendali infrastruktur juga tidak boleh bergantung kepada pagar, CCTV dan rondaan semata-mata.
Aset yang menjadi sebahagian daripada sistem kritikal perlu diberi perlindungan setimpal dengan kesan yang boleh berlaku sekiranya ia gagal.
Pam tebatan banjir, kabel kuasa rel atau sistem komunikasi tidak sepatutnya terlalu mudah dilumpuhkan hanya kerana satu kabel dipotong.
Kerajaan sedang mempertimbangkan hukuman lebih berat terhadap kecurian kabel rel, termasuk denda sehingga RM100,000.
Langkah itu mungkin membantu memberi kesan pencegahan.
Namun,hukuman berat tidak banyak bermakna jika pencuri masih merasakan peluang untuk ditangkap rendah dan pasaran untuk menjual hasil curi kekal terbuka.
Kecurian kabel akhirnya bukan soal berapa meter kabel hilang atau berapa kilogram tembaga berjaya dilarikan.
Kos sebenarnya ditanggung oleh orang lain.
Ia ditanggung penumpang yang lewat ke tempat kerja, keluarga yang berdepan banjir, operator yang perlu membaiki sistem, kerajaan yang menggunakan wang awam untuk mengganti aset dan masyarakat yang bergantung pada kemudahan tersebut.
Sebab itu kecurian kabel tidak lagi sesuai dilihat hanya sebagai jenayah mencuri logam.
Dan selagi rantaian daripada pencuri kepada pembeli tidak diputuskan, kita mungkin akan terus membaca berita yang sama — kabel dicuri, sistem terganggu, orang ramai menanggung akibatnya.
Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.