Kumpulan wanita ‘kecewa’, gesa Ahli Parlimen teliti Belanjawan 2027 menerusi lensa gender

All Women’s Action Society (Awam) menggesa Ahli Parlimen meneliti Belanjawan 2027 menerusi lensa jantina apabila ia dibahaskan dalam beberapa minggu akan datang, menegaskan ia masih belum mencukupi untuk menangani isu berlarutan yang membelenggu wanita.
Presiden Awam Lai Suat Yan berkata, walaupun belanjawan kali ini membawa beberapa penambahbaikan, termasuk bantuan tambahan untuk kerja penjagaan, peruntukan cuti bersalin lebih baik serta penaiktarafan kemudahan asuhan di premis kerajaan, ia secara keseluruhannya tetap ‘mengecewakan’.
Lai berkata, belanjawan tersebut gagal menangani isu-isu seperti keganasan berasaskan jantina, kadar penyertaan tenaga kerja yang rendah, dan beban kerja penjagaan tanpa gaji yang tidak seimbang secara menyeluruh.
“Banyak keperluan sekian lama wanita Malaysia masih belum dipenuhi, dan keadaan ini akan terus memberi kesan terhadap hak, keselamatan serta kesejahteraan mereka sepanjang tahun depan,” katanya dalam kenyataan.
“Golongan wanita masih jauh daripada mencapai kesaksamaan dan pariti. Oleh itu, Awam menegaskan belanjawan awam wajar dinilai melalui lensa responsif jantina bagi memastikan dana awam menangani ketidaksamarataan sedia ada, menyantuni pelbagai keperluan wanita, serta menyumbang kepada pembangunan negara yang inklusif dan mampan.”
Di bawah Belanjawan 2027 yang dibentangkan semalam, beberapa inisiatif serta manfaat bersasar untuk wanita telah diperuntukkan, antaranya cuti bersalin lebih panjang bagi penjawat awam dan pelepasan cukai yang diperluas untuk penjagaan selepas bersalin.
Bagaimanapun, Lai berkata, belanjawan tersebut perlu menyediakan pembiayaan khusus dan mampan bagi mangsa terselamat keganasan berasaskan jantina, termasuk akses kepada perkhidmatan sokongan, petugas barisan hadapan yang terlatih secukupnya, kaunseling dan bantuan pemulihan jangka panjang.
“Mengambil kira kes-kes terkini di sekolah, belanjawan ini mesti memainkan peranan lebih tegas untuk membendung peningkatan keganasan terhadap murid perempuan, dengan komitmen lebih jelas terhadap pendidikan seksualiti komprehensif, program kesedaran, kaunseling mudah diakses, serta langkah pencegahan yang berkesan,” katanya.
Akses pekerjaan
Menyentuh soal penyertaan ekonomi golongan wanita, Lai berkata, kekangan struktur, khususnya beban tanggungjawab penjagaan yang tidak seimbang, terus menyekat akses mereka kepada pekerjaan yang wajar serta kebebasan kewangan, walaupun penglibatan wanita pada peringkat pendidikan tinggi kekal kukuh.
Walaupun mengalu-alukan pengiktirafan belanjawan terhadap ekonomi penjagaan, beliau berkata, perkhidmatan penjagaan komuniti yang berkualiti dan berpatutan masih amat diperlukan, di samping perlindungan serta sokongan lebih ampuh buat penjaga tidak bergaji.
Beliau turut menggesa kerajaan menyepadukan perspektif jantina dan ketidakupayaan ke dalam perbelanjaan awam bagi sektor pengangkutan, perumahan, penjagaan kesihatan serta perlindungan sosial, dengan tumpuan khusus diberikan kepada wanita luar bandar, isi rumah berpendapatan rendah, ibu tunggal, wanita migran, dan orang kurang upaya (OKU).
Sehubungan itu, Lai meminta kerajaan mewajibkan pelaksanaan pendekatan belanjawan responsif jantina merentas semua kementerian, beserta penyata belanjawan gender umum yang menggariskan peruntukan, penerima manfaat, sasaran yang boleh diukur, serta hasil akhir.
Beliau turut mencadangkan penerbitan penyata belanjawan jantina secara terbuka yang menyenaraikan pengagihan dana, kumpulan sasaran, matlamat terukur, dan keberhasilan inisiatif, diiringi pelaporan berkala mengenai sejauh mana perbelanjaan awam mampu merapatkan jurang ketidaksamarataan gender.
Menurutnya, Malaysia boleh mencontohi kerangka dasar negara-negara seperti Maghribi, Rwanda, Korea Selatan, dan Austria.
“Langkah-langkah sedemikian penting untuk memperkukuh akauntabiliti, menilai kesan sebenar perbelanjaan awam, serta memastikan setiap komitmen terhadap kesaksamaan jantina benar-benar diterjemahkan kepada perubahan bermakna dalam kehidupan wanita,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.