Akmal buka bidaan motosikal, ikan tilapia untuk bayar saman Teresa Kok

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh membuka bidaan untuk dua aset kesayangannya, motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya, bagi mengumpul wang membayar ganti rugi serta kos mahkamah berjumlah RM300,000.
Akmal berkata beliau mengambil keputusan itu selepas mendapati simpanannya masih tidak mencukupi menjelaskan jumlah ditetapkan Mahkamah Tinggi Melaka yang memerintahannya membayar RM250,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok selepas membenarkan saman fitnah dikemukakan pemimpin DAP itu.
Beliau turut diperintahkan membayar kos RM50,000.
“Dengan berat hati, saya membuka bidaan untuk dua aset kesayangan saya, motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakan saya,” katanya di Facebook.
Beliau berkata kedua-duanya adalah aset yang sudah habis dibayar dan boleh dijual, sambil memaklumkan beliau tidak mempunyai tanah atau rumah yang boleh dilepaskan bagi mencukupkan jumlah itu.
Menurut Akmal, ada pihak mencadangkan supaya tabung sumbangan dibuka bagi membantunya, namun beliau mahu berusaha sendiri terlebih dahulu kerana tidak mahu membebankan orang lain.
“Saya tahu setiap sahabat juga mempunyai keluarga, tanggungan dan kesusahan masing-masing. Sebab itu, selagi masih ada milik saya yang boleh dilepaskan, izinkan saya mengusahakannya dahulu,” katanya.
Beliau berkata pembida yang serius perlu membayar deposit RM100 sebelum mengemukakan tawaran, manakala deposit akan dipulangkan sepenuhnya kepada mereka yang tidak berjaya.
Akmal turut berkata beliau menghormati keputusan mahkamah dan bersedia mematuhi perintah berkenaan, sambil menyifatkan RM300,000 sebagai jumlah yang besar untuk ditanggungnya sendiri.
Saman itu berpunca daripada kenyataan Akmal pada September 2024 selepas Kok mempersoalkan cadangan mewajibkan sijil halal bagi restoran dan perniagaan makanan yang tidak menghidangkan daging babi atau alkohol.
Mahkamah turut memerintahkan Akmal memadam kenyataan berunsur fitnah itu daripada platform media sosialnya dan melarang beliau mengulangi kenyataan sama atau yang membawa maksud serupa terhadap Kok.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.