Mahkamah tolak permohonan 2 individu cabar subsidi diesel bersasar

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan kebenaran dua lelaki untuk mencabar pelaksanaan subsidi diesel bersasar oleh kerajaan pada 2024.
Hakim Norliza Othman menolak permohonan bersama Azhani Marlan @ Abd Halim dan Hatta Sanuri itu, dengan menyatakan mereka gagal mengemukakan kes yang boleh dihujahkan sehingga memerlukan pendengaran penuh.
“Dalam kes yang dibicarakan hari ini, keputusan untuk memansuhkan subsidi diesel secara menyeluruh di Semenanjung Malaysia merupakan keputusan berkaitan fiskal yang mempunyai implikasi ekonomi dan sosial.
“Keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan ekonomi dan sosial, yang berada di luar bidang kepakaran mahkamah, justeru saya tidak akan campur tangan,” katanya.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua lelaki itu membayar kos RM5,000 kepada kerajaan.
Azhani dan Hatta memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman pada 2024 terhadap kerajaan serta beberapa menteri semasa dan bekas menteri berhubung dasar subsidi diesel bersasar.
Antara pihak yang dinamakan dalam permohonan mereka ialah Anwar Ibrahim (perdana menteri dan menteri kewangan), Rafizi Ramli (bekas menteri ekonomi), Armizan Mohd Ali (menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup) dan Loke Siew Fook (bekas menteri pengangkutan).
Kedua-dua lelaki itu mendakwa dasar berkenaan menjejaskan mereka sebagai pengguna kenderaan diesel, dengan mengatakan harga diesel bersubsidi lebih tinggi berbanding harga sebelum ini di bawah skim subsidi menyeluruh.
Mereka turut mendakwa kerajaan gagal mematuhi formula mekanisme penetapan harga automatik ketika mengira harga runcit diesel mingguan.
Peguam Mohaji Selamat mewakili Azhani dan Hatta manakala Peguam Kanan Persekutuan Sallehuddin Md Ali mewakili kerajaan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.