Bersatu boleh ‘telan’ Amanah dalam khemah besar, kata penganalisis

Amanah berisiko ‘ditelan’ Bersatu di bawah ‘khemah besar’ Pakatan Harapan (PH) jika parti itu terus dibelenggu krisis identiti susulan persaingan antara kedua-duanya dalam merebut sokongan pengundi Melayu, kata penganalisis.

Tawfik Yaakub daripada Universiti Malaya berkata, walaupun kerjasama itu membuka ruang mengukuhkan sokongan pengundi Melayu, ia turut membawa risiko kepada kedudukan Amanah yang dibelenggu kemerosotan berdasarkan pencapaian dalam tiga PRN.
“Bersatu akan makan dan telan Amanah. Hal ini kerana Amanah dan Bersatu mempunyai sebahagian sasaran pengundi hampir sama,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, persaingan dalam pengagihan kerusi, pengaruh kepimpinan dan peranan dalam gabungan boleh menyebabkan kedudukan Amanah semakin terhimpit jika tiada persefahaman politik yang jelas.
Gesaan supaya pembentukan khemah besar melibatkan parti di luar PH termasuk Bersatu disegerakan menjelang PRU16 disuarakan Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil, minggu lalu.
Kehadiran pemimpin Bersatu seperti Setiausaha Agung Azmin Ali ke Konvensyen Amanah, Sabtu lalu, menguatkan spekulasi pembentukan kerjasama bagi berdepan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam merebut undi Melayu.
Bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa Pusat Amanah, Raja Kamarul Bahrin Shah, semalam, menyuarakan kebimbangan terhadap survival parti itu jika cadangan membentuk khemah besar PH bersama Bersatu dilaksanakan ketika ia masih belum mempunyai identiti politik tersendiri.
Azmin dipetik berkata, cadangan itu akan dibawa kepada pimpinan tertinggi partinya manakala Presiden Amanah Mohamad Sabu yakin pendekatan berkenaan mampu menyaingi agenda penyatuan ummah Umno dan PAS.
Mohamad bagaimanapun berkata, cadangan khemah besar itu masih di peringkat awal dan belum melalui sebarang rundingan rasmi.

Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri daripada Global Asia Consulting berkata, penyertaan Bersatu dalam khemah besar tidak semestinya ancaman kepada Amanah, malah berpotensi mewujudkan alternatif politik Melayu dalam kerangka masyarakat majmuk.
Namun, katanya, Amanah perlu terlebih dahulu menjawab persoalan mengenai kerelevanan perjuangannya selepas lebih sedekad ditubuhkan.
Menurutnya, menjadi parti Islam lebih sederhana berbanding PAS tidak memadai jika Amanah gagal menawarkan dasar ekonomi, pendidikan dan pembangunan masyarakat yang memanfaatkan rakyat.
“Jangan sampai Amanah menjadi arkitek khemah besar, tetapi akhirnya sekadar menjadi tetamu di dalam khemah yang dibinanya sendiri.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.