‘Tiada kerja berkualiti, tiada insentif’, kerajaan digesa rangsang gaji

Kerajaan digesa mengetatkan pemberian insentif kepada syarikat swasta dengan mengaitkannya kepada prestasi gaji, produktiviti dan kualiti pekerjaan.
Pakar ekonomi Putra Business School, Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata kerajaan boleh mengguna pakai prinsip ‘tiada pekerjaan berkualiti, tiada insentif penuh’ bagi mendorong majikan menawarkan gaji lebih baik.
Katanya, pelepasan cukai, geran dan kemudahan kerajaan kepada syarikat swasta wajar diikat dengan sasaran seperti gaji median, latihan pekerja dan penggunaan vendor tempatan.

“Jika sasaran tidak dicapai, sebahagian insentif wajar dikurangkan atau ditarik balik. Prinsipnya mudah: ‘no quality jobs, no full incentives’.
“Insentif pelaburan juga perlu beralih daripada sekadar mengukur nilai pelaburan langsung asing (FDI) kepada ukuran seperti gaji dan produktiviti,” katanya kepada FMT.
Razman berkata, struktur pertumbuhan ekonomi negara masih belum diterjemahkan sepenuhnya kepada peningkatan upah kerana Malaysia terlalu bergantung kepada aktiviti ekonomi berintensifkan buruh murah.
Katanya, walaupun data Jabatan Perangkaan menunjukkan median gaji pekerja formal mencapai RM3,027 sebulan pada Mac 2026, sebahagian besar tenaga kerja masih tertumpu dalam pekerjaan separa mahir dan berkemahiran rendah.
Rabu lalu, bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, berkata Belanjawan 2027 perlu menangani isu gaji rendah serta hakikat rakyat masih belum menikmati sepenuhnya manfaat pertumbuhan ekonomi.
Beliau merujuk data Jabatan Perangkaan yang menunjukkan dua daripada tiga penerima upah di Malaysia bekerja dalam pekerjaan separa mahir atau berkemahiran rendah, dengan gaji median masing-masing RM2,223 dan RM1,758.
Katanya, peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK), pendapatan negara kasar dan FDI tidak semestinya membawa kemakmuran kepada rakyat jika pertumbuhan gaji gagal mengimbangi kos sara hidup.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, turut bersetuju wujud jurang antara prestasi ekonomi keseluruhan dengan realiti kehidupan rakyat.
Katanya, walaupun ekonomi makro negara berada pada landasan kukuh hasil pengurusan dasar fiskal dan monetari yang baik, cabaran di peringkat mikroekonomi termasuk memastikan manfaat pertumbuhan diterjemahkan kepada peningkatan gaji dan pengurangan tekanan kos sara hidup masih belum selesai.

“Bagi tempoh jangka pendek, langkah seperti dasar gaji minimum, bantuan tunai menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dan subsidi sekurang-kurangnya mampu meminimumkan beban rakyat,” katanya.
Namun, katanya, penyelesaian sebenar memerlukan reformasi struktur jangka panjang meliputi sektor seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan keselamatan.
Afzanizam berkata, model saraan sedia ada yang bergantung kepada gaji asas, kenaikan tahunan, elaun dan bonus juga agak rigid kerana keuntungan syarikat tidak disalurkan secara langsung kepada pekerja.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan majikan mempertimbangkan model saraan seperti diamalkan syarikat gergasi global, termasuk pemilikan saham pekerja, perkongsian keuntungan dan pampasan berasaskan prestasi.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.