1 maut pemandu mabuk langgar pekerja pasang papan tanda lebuh raya

Seorang lelaki yang dipercayai memandu kereta dalam keadaan mabuk merempuh dua pekerja yang sedang memasang papan tanda amaran di Lebuhraya Sultan Iskandar di Kuala Lumpur pada awal pagi ini menyebabkan seorang mangsa terbunuh.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Zamzuri Isa berkata kejadian berlaku kira-kira 5 pagi di lebuh raya itu dari arah Jalan Damansara menghala ke Jalan Parlimen.
Katanya, kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar dua pekerja yang berada di lorong kiri jalan berkenaan bersama tiga lagi rakan mereka.
“Akibat kemalangan tersebut, seorang penyelia lelaki berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
“Seorang lagi pekerja yang merupakan pemandu lori berusia 49 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan kanan serta menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan hasil ujian saringan pernafasan alkohol mendapati melebihi bacaan yang ditetapkan.
“Pemandu itu ditahan dan direman selama tiga hari hingga 26 Okt bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1)(b) dan Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.