Najib ke HKL, sesi kaunseling, dan mengaji al-Quran selain solat Jumaat

Pergerakan bekas perdana menteri Najib Razak hari ini bukan hanya melibatkan urusan solat Jumaat di Masjid Penjara Kajang, menurut Jabatan Penjara.
Jabatan Penjara berkata Najib juga menghadiri temu janji pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan susulan di jabatan ortopedik.
Selain itu, Najib ke Penjara Kajang untuk mengikuti sesi pengajian al-Quran bersama ustaz daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan sesi kaunseling bersama pegawai psikologi.
“Setelah selesai semua urusan tersebut, beliau telah dibawa pulang dari Penjara Kajang pada jam 5.50 petang dan sampai ke rumah di Jalan Langgak Duta pada jam 6.25 petang,” menurut kenyataan.
Kenyataan ini menyusuli laporan media berhubung pergerakan Najib di luar kediamannya hari ini. Menurut Jabatan Penjara, pergerakan Najib bermula pada 10.25 pagi.
“Setiap pergerakan beliau dilaksanakan berdasarkan urusan dan keperluan yang telah ditetapkan serta tertakluk kepada prosedur operasi standard, syarat-syarat tahanan rumah dan kawalan serta seliaan pihak Jabatan Penjara,” katanya.
Najib mula menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International menerusi tahanan di rumah pada Selasa lalu. Hukuman itu dijadual tamat pada 23 Ogos 2028.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.