Mahkamah putus 23 Okt permohonan injunksi Maritime Network terhadap RHB

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 23 Okt untuk memutuskan permohonan injunksi sebuah syarikat perkapalan bagi menghalang RHB Bank Berhad daripada menutup dua akaun lama milik syarikat itu sementara menunggu penyelesaian saman penuhnya.
Pesuruhjaya Kehakiman, Elesabet Paya Wan, menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam P Taneswaran yang mewakili Maritime Network Sdn Bhd dan peguam bank berkenaan, Gan Khong Aik.
Terdahulu, Taneswaran berhujah pihak bank gagal menunjukkan sama ada plaintif, Maritime Network, telah melanggar mana-mana terma atau keperluan yang boleh menyebabkan akaunnya ditutup.
Beliau turut berhujah, bank mempunyai kewajipan fidusiari dan kewajipan berjaga-jaga terhadap pelanggannya, Maritime Network.
Bagaimanapun, Gan berhujah tiada hubungan fidusiari atau kewajipan berjaga-jaga antara bank dan syarikat perkapalan itu, dengan menyatakan hubungan antara bank dan pelanggannya adalah hubungan antara penghutang dengan pemiutang.
Pada Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi memberikan injunksi sementara bagi menghalang RHB daripada menutup kedua-dua akaun berkenaan sementara menunggu pendengaran permohonan injunksi penuh syarikat itu.
Menurut dokumen mahkamah, Maritime Network telah membuka dua akaun dengan RHB sejak 23 Sept 2005, masing-masing melibatkan akaun pelbagai mata wang dan akaun semasa.
Bagaimanapun, pada 6 Okt tahun lalu, syarikat itu menerima notis penamatan bertarikh 1 Okt yang memaklumkan bank berhasrat menutup kedua-dua akaun serta menamatkan semua perkhidmatan dalam tempoh 14 hari.
Bank didakwa berbuat demikian atas alasan berlaku pelanggaran dasar dan garis panduan dalaman, namun tidak menjelaskan dasar atau garis panduan yang didakwa dilanggar.
Syarikat itu turut memaklumkan terdapat pertikaian berterusan antara kedua-dua pihak berkaitan akaun berkenaan, yang sebelum ini telah dibawa ke Mahkamah Tinggi melalui permohonan penzahiran dokumen, tetapi ditolak pada 2 Julai tahun lalu.
Syarikat itu kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan, yang pada Disember tahun lalu membenarkan rayuannya terhadap keputusan menolak permohonan penzahiran praperbicaraan berkenaan.
Susulan itu, Mahkamah Rayuan mengarahkan RHB mengemukakan garis panduan Minimum Due Diligence (MDD) yang mengawal selia urus niaga pertukaran asing kepada syarikat berkenaan dalam tempoh 45 hari.
Maritime Network seterusnya mendakwa tuduhan umum yang dikemukakan bank menyebabkan syarikat itu berada dalam keadaan tidak menentu serta dinafikan peluang untuk membela diri, yang didakwa sebagai penyalahgunaan kuasa sehingga menjejaskan haknya.
Syarikat itu turut mendakwa tindakan bank berkenaan menunjukkan niat untuk menindas, bukannya melindungi kepentingan sahnya dalam urusan perbankan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.