Gaji mula RM2,500 tak banyak bantu graduan

Gaji permulaan minimum RM2,500 bagi graduan tidak akan membawa banyak perubahan dalam meningkatkan kadar upah walaupun bertujuan menangani kelemahan struktur sudah lama berakar dalam pasaran buruh, kata ahli ekonomi.
Geoffrey Williams daripada Williams Business Consultancy Sdn Bhd berkata, graduan ketika ini sudah pun meraih pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,500 sebulan, manakala Yeah Kim Leng daripada Sunway University berkata, kadar dicadangkan itu ‘munasabah menjadi dasar undang-undang’, namun masih belum mencapai paras gaji kehidupan wajar di bandar utama.
Dalam pada itu, Barjoyai Bardai daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, cadangan berkenaan tepat memandangkan kelayakan akademik dan kemahiran tidak sentiasa diterjemahkan kepada imbuhan sewajarnya.
Dalam Belanjawan 2027 dibentangkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, Jumaat lalu, kerajaan mencadangkan gaji permulaan sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan bagi graduan dan pekerja separa mahir.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, langkah itu akan memastikan tangga gaji mencerminkan kelayakan akademik pekerja dan bukan berasaskan kadar gaji minimum kebangsaan semata-mata, yang naik daripada RM1,700 kepada RM2,000.
Williams berkata, gaji permulaan graduan ditentukan oleh keadaan pasaran, sambil menambah majikan boleh memilih untuk tidak mengambil graduan bekerja pada mana-mana paras gaji.
Katanya, menetapkan gaji permulaan minimum juga boleh mengakibatkan sesetengah kontrak pekerjaan graduan tidak diperbaharui.
“Jadi, (gaji minimum RM2,500) jadi ‘pedang bermata dua’. Ia nampak macam dasar tegas membantu graduan, tetapi turut mengekang kebolehpasaran mereka,” katanya.
Yeah berkata, walaupun gaji permulaan RM2,500 ‘munasabah menjadi dasar undang-undang’, ia masih belum mencapai paras gaji wajar di bandar utama.

Memetik data rasmi, beliau berkata individu bujang di Kuala Lumpur memerlukan RM2,403 sebulan untuk mengekalkan taraf hidup selesa, manakala mereka di Klang memerlukan RM2,161. Angka sepadan bagi mereka di daerah Timur Laut, Pulau Pinang pula RM2,180.
Katanya, gaji permulaan minimum sepatutnya ditentukan menerusi mekanisme perundingan tiga pihak melibatkan kerajaan, majikan, dan pekerja, berbanding ditetapkan sepenuhnya oleh kuasa pasaran atau dilaraskan secara tegar oleh kerajaan.
Beliau berkata, dua ‘pendekatan melampau’ itu tidak sesuai dengan keadaan di Malaysia.
Katanya, kuasa pasaran semasa sudah menekan gaji graduan dengan 65% daripada mereka meraih pendapatan bawah RM3,000 sebulan.
Menurutnya, gaji penanda aras kemasukan pertengahan yang dilaraskan mengikut inflasi bagi pemegang ijazah sarjana muda telah menurun 10% dalam tempoh 25 tahun.
Yeah berkata, satu kadar kebangsaan menyeluruh bagi graduan dan pekerja separa mahir akan mengabaikan perbezaan kos sara hidup yang ketara mengikut wilayah, dan boleh membawa kesan negatif yang bukan disengajakan.
“Angka RM2,500 itu boleh dipertahankan sebagai penanda aras permulaan, tetapi kadar sebenar sepatutnya dilaraskan mengikut keupayaan pembayaran majikan secara mampan di pelbagai wilayah berbeza.”
Barjoyai berkata, gaji RM2,500 atau lebih berupaya membantu meningkatkan kuasa beli pekerja muda, terutama bagi mereka yang perlu menampung kos penginapan, pengangkutan, makanan, bayaran balik pinjaman pendidikan, dan perbelanjaan sara hidup lain.

“Ia juga dapat membantu merapatkan jurang antara kos untuk memperoleh kelayakan akademik dengan pulangan kewangan diterima graduan apabila mula melangkah ke alam pekerjaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar jumlah RM2,500 itu tidak dijadikan ‘matlamat akhir semata-mata’, memandangkan hasrat kerajaan untuk beralih kepada ekonomi berproduktivi dan berpendapatan tinggi.
“Gaji permulaan RM2,500 ini boleh menjadi instrumen ke arah objektif berkenaan dengan syarat disertai pembangunan kemahiran yang berkesan, penerapan teknologi, dan permintaan lebih kukuh terhadap tenaga kerja mahir,” katanya.
Beliau memberi amaran menetapkan gaji minimum tanpa mengambil kira perbezaan dalam produktiviti, keadaan industri, dan keupayaan majikan membayar juga membawa kesan lain.
Ia termasuk pengurangan pengambilan pekerja, penangguhan perluasan perniagaan, dan peralihan ke arah pengaturan secara kontrak bagi mengurangkan kos pekerjaan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.