Nazri mahu tanding semula Padang Rengas, minta PN cari kerusi lain

Nazri Aziz mahu kembali bertanding di Padang Rengas pada PRU16 dan meminta Perikatan Nasional (PN) mencari kerusi lain, walaupun gabungan itu kini menjalin kerjasama pilihan raya dengan Barisan Nasional (BN) di beberapa negeri.
Bercakap kepada FMT, bekas Ahli Parlimen Padang Rengas menegaskan kawasan berkenaan adalah kerusi BN walaupun kini disandang Azahari Hasan daripada PN.
“Itu kerusi BN. Cari kerusi lain,” katanya ketika ditanya kemungkinan PN mahu mempertahankan kerusi itu pada PRU16.
Pendirian Nazri menimbulkan persoalan mengenai pembahagian kerusi jika kerjasama BN-PN pada PRN Negeri Sembilan dan Melaka diteruskan hingga PRU16.
Padang Rengas kini disandang Azahari yang memenangi kerusi itu atas tiket PN pada PRU15. Beliau turut disenaraikan dalam kepimpinan Parti Wawasan Negara (Wawasan), salah satu parti komponen PN.
Mengulas hasratnya kembali bertanding, Nazri yang masih mengetuai Umno Bahagian Padang Rengas berkata beliau mahu kembali mewakili kawasan itu selepas menamatkan tugas sebagai duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS).
“Saya masih ketua bahagian dan berhajat bertanding di Parlimen,” katanya yang berkhidmat sebagai duta besar Malaysia ke AS dari Februari 2023 hingga Februari 2025.
Nazri pada Ogos 2021 mengumumkan mahu bersara daripada politik dan tidak bertanding PRU15 bagi memberi laluan kepada pemimpin baharu.
Pada PRU15, calon BN Mohd Arrif Abdul Majid yang menggantikannya kalah kepada Azahari dengan majoriti 3,046 undi.
Selepas kembali dari AS, Nazri menyatakan mahu membantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadapi PRU16 dan bukan kembali bertanding sebagai calon.
Namun, pada April lalu, Nazri menyatakan kesediaan bertanding semula di Padang Rengas jika mendapat persetujuan pucuk pimpinan Umno.
Nazri mewakili Padang Rengas selama empat penggal dari 2004 hingga 2022. Sebelum itu, beliau menjadi Ahli Parlimen Chenderoh selama dua penggal sejak 1995.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.