Hasrat jadi hab minyak serantau perlu pemantauan di darat, kata pemain industri

Hasrat Malaysia memperkukuh kedudukan sebagai hab perdagangan minyak dan pembekalan bahan api kapal serantau memerlukan pemantauan menyeluruh terhadap muatan petroleum, bukan sahaja di atas kapal tetapi juga di tangki simpanan dan kemudahan darat.
Pemain industri R Jeyenderan, berkata pemantauan itu penting bagi memastikan pengendalian minyak selepas dipunggah di pelabuhan mematuhi peraturan kastam dan pelesenan.
Menurutnya, walaupun peraturan maritim antarabangsa melarang aktiviti pengadunan minyak tertentu di atas kapal ketika pelayaran, pengendalian muatan di darat juga perlu diberi perhatian.
“Muatan minyak boleh dipindahkan antara tangki simpanan, dicampurkan dengan produk lain, diproses atau dieksport semula sebelum sampai ke destinasi akhir.
“Aktiviti sedemikian tidak semestinya menyalahi undang-undang, namun perlu mematuhi syarat kastam dan pelesenan, khususnya berkaitan dokumentasi serta pengisytiharan muatan,” katanya dalam kenyataan.
Jeyenderan turut merujuk Peraturan 5-2, Bab VI Konvensyen Antarabangsa bagi Keselamatan Nyawa di Laut (Solas), yang melarang pengadunan fizikal muatan cecair pukal di atas kapal ketika pelayaran.
Peraturan yang diterima pakai Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) pada Mei 2012 dan berkuat kuasa sejak 1 Jan 2014 itu turut melarang proses pengeluaran dijalankan di atas kapal.
Ini termasuk penggunaan sistem pam kapal tangki untuk mencampurkan muatan berbeza ketika pelayaran bagi menghasilkan produk petroleum baharu.
Sementara itu, peguam GK Ganesan berkata larangan pengadunan minyak di laut jelas, manakala pengendalian dan penyimpanan minyak di darat turut tertakluk kepada undang-undang sedia ada.
“Di laut, peraturannya jelas. Kapal tangki tidak boleh dijadikan loji penapisan minyak. Di darat, persoalannya bukan sama ada undang-undang wujud kerana undang-undang itu sememangnya ada,” katanya.
Beliau menjelaskan Seksyen 35N Akta Kastam 1967 mewajibkan pihak menyimpan dan mengendalikan barangan bagi tujuan pemindahan muatan merekodkan penerimaan, pengendalian, penyimpanan serta penyerahan barangan berkenaan.
“Persoalannya sama ada rekod itu disimpan dan sama ada kandungannya sepadan dengan apa yang diisytiharkan,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.