Anwar seru kepedulian Muslim terhadap cabaran AI

Umat Islam termasuk ulama tidak memberikan perhatian secukupnya terhadap cabaran dibawa kecerdasan buatan (AI), kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, sikap kurang kepedulian itu amat membimbangkan, terutamanya ketika tokoh terkemuka di sebalik AI sendiri menyuarakan kebimbangan mengenai bagaimana teknologi berkenaan mampu memberi kesan kepada masyarakat.
“Ulama Islam adalah pihak yang paling kurang rasa bimbang. Masyarakat Islam tidak mengikuti perkembangan cabaran ini,” katanya ketika berucap di Markaz Saquafathi Sunniya, di mana beliau turut menyampaikan penghormatan kepada Mufti Besar India Sheikh Abu Bakar Ahmad atas sumbangannya terhadap keilmuan dan pendidikan Islam.
Anwar berkata, masyarakat Islam tidak mampu untuk mengabaikan AI, transformasi digital, dan teknologi baharu lain kerana tindakan sedemikian hanya akan menyebabkan mereka terus bergantung kepada pihak menguasai ilmu tersebut.
Beliau berkata, tanpa pengetahuan dan kepakaran mencukupi, masyarakat akhirnya boleh terdedah kepada pengaruh luar serta ‘dijadikan senjata oleh kuasa asing’.
Namun, beliau menegaskan menguasai teknologi tidak bermakna perlu mengabaikan nilai agama dan moral, sambil menambah umat Islam memerlukan kepakaran dalam teknologi serta pegangan kukuh iman dan etika.
Mengambil maklum mengenai cadangan penubuhan forum Asia mengkaji bagaimana masyarakat boleh meningkatkan penggunaan AI, sambil memastikan nilai serta pegangan agama kekal teguh, katanya, beliau akan meminta rakan sejawatnya mengkaji dan menyokong rancangan tersebut.
Anthropic, sebuah syarikat AI yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini mengeluarkan laporan antara lain memperincikan bagaimana pihak berniat jahat menggunakan sistem AI Claude miliknya untuk operasi pengawasan dan propaganda tajaan negara.
Anthropic turut memaklumkan sistemnya telah digunakan untuk mematahkan satu platform manipulasi pilihan raya komersial yang sasaran utamanya adalah rakyat di Malaysia. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini sedang meneliti laporan itu.
Pada majlis berkenaan, Anwar turut dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan julung kali dianjurkan Yayasan Sheikh Abubacker, sekali gus menjadi penerima pertama penghormatan terbabit.
Anugerah tersebut juga mencerminkan hubungan erat antara Anwar dan Sheikh Abu Bakar. Pada 2023, Malaysia menganugerahkan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa, iaitu penghormatan tertinggi negara bagi ulama Islam yang berpengaruh, kepada tokoh agama India itu.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.