Tuntutan difail di Singapura berkait Eric Tan, sekutu Jho Low

Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB memaklumkan tuntutan ganti rugi yang difailkan pelikuidasi lantikan mahkamah bagi empat syarikat yang menyaman DBS Bank adalah berkaitan dengan akaun dibuka sekutu Jho Low, Eric Tan.
Pada Rabu, pelikuidasi empat syarikat, iaitu BlackRock Commodities (Global) Ltd, Platinum Global Luxury Services Ltd, Affinity Equity International Partners, dan TKIL Global Investments Ltd, dilaporkan memfail dan menyerahkan tuntutan ganti rugi melebihi SD1 bilion di Mahkamah Tinggi Singapura ke atas bank pemberi pinjaman terbesar di Asia Tenggara itu.
Dalam kenyataan, pasukan petugas itu memaklumkan berdasarkan penyataan tuntutan difailkan, lima akaun berkenaan telah dibuka dengan DBS, pada 2013.
Menurutnya, dokumen pembukaan akaun untuk empat syarikat itu menamakan Tan Kim Loong, yang lebih dikenali sebagai Eric Tan, sebagai pemilik benefisial tunggal.
Pasukan petugas itu juga turut memaklumkan Tan, yang merupakan penandatangan bagi setiap satu daripada lima akaun berkenaan, ialah warga Malaysia dan sekutu rapat Jho Low yang bertindak sebagai proksinya.
Wang itu, setelah dimasukkan ke dalam lima akaun berkenaan, bukan sekadar disimpan di situ. Ia saling dipindahkan di antara empat syarikat tersebut tanpa sebarang alasan sah, serta dibayar kepada pihak ketiga, termasuk di kedai barangan kemas, penyedia perkhidmatan sewa jet peribadi, dan kelab malam.
Wang itu juga dibayar untuk tujuan pembelian sebuah kapal layar mewah.
“Antara 2013 hingga 2014, lebih daripada USD1 bilion wang yang dicuri daripada 1MDB dan SRC International telah disalurkan melalui keempat-empat syarikat ini. Wang berkenaan adalah milik 1MDB, jadi sebarang pemulihan oleh keempat-empat syarikat dan pelikuidasi lantikan mahkamah merupakan satu pemulihan aset untuk Malaysia,” tambah pasukan petugas itu.
Mengalu-alukan tindakan itu, pasukan petugas memaklumkan pelikuidasi yang dilantik oleh mahkamah untuk empat syarikat berkenaan sedang meneruskan tuntutan tersebut demi kepentingan mangsa penipuan, termasuk 1MDB.
Menurutnya, bank merupakan pihak yang berperanan sebagai gatekeeper (penjaga) kepada sistem kewangan.
“Apabila syarikat tidak aktif yang digunakan bagi menyembunyikan aset memindahkan sejumlah wang yang besar secara berulang kali, kemudian digunakan sebagai pembayaran kepada pengedar barangan mewah, sesebuah bank sepatutnya mengemukakan pertanyaan. Namun pertanyaan itu tidak dikemukakan.
“Pendirian kami adalah mudah. Ini merupakan tuntutan yang sewajarnya oleh pelikuidasi lantikan mahkamah dan sebarang wang yang dipulihkan akan dikembalikan kepada rakyat Malaysia,” tambah pasukan petugas itu.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.