Pemecatan tak adil, jurukamera Astro dapat pampasan RM474,000

Jurukamera Astro yang dipecat kerana didakwa menstrim kandungan Astro Ceria secara haram melalui akaun peribadinya diberikan pampasan RM474,240 oleh Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur yang memutuskan pemecatan itu sebagai tidak adil.
Pengerusi Mahkamah Perusahaan Augustine Anthony, berkata panel siasatan dalaman (DI) yang mendapati Chen Ken Tatt bersalah, telah memindahkan beban pembuktian secara tidak wajar kepada pekerja tersebut untuk menunjukkan dia bukannya individu menstrim kandungan AstroGo dalam aplikasi haram, HotTV.
Beliau berkata, setelah membuat dakwaan berkenaan, Astro Facilities Sdn Bhd memikul tanggungjawab bagi pembuktian. Keputusan award itu diserahkan pada 27 Okt.
Anthony berkata, panel terlalu bergantung kepada keterangan saksi syarikat, bekas ketua unit perlindungan harta inteleknya, Brendan Lopez Michael, dan meletakkan penuntut dalam ‘keadaan sukar dan tidak berdaya’ dengan mengalihkan beban bukti bahawa dia bukan pelaku.
Beliau turut menyatakan saksi berkenaan membuat kenyataan bercanggah dengan keterangannya sendiri apabila membuat spekulasi mengenai pelbagai cara penstriman haram mungkin berlaku — termasuk cadangan isteri atau anak lelaki Chen mungkin melakukannya, sekiranya Chen berkongsi kata laluan sekali guna (OTP) telefon bimbit.
“Malangnya, bagi pihak syarikat, ekoran keterangan ini yang menjurus ke arah andaian semata-mata, bukan sahaja menuduh penuntut dan keluarganya secara tidak adil, malah tidak mempunyai sebarang bukti kukuh membuktikan jejak tindakan atau aktiviti oleh penuntut, isteri, mahupun anak lelakinya.
“Demi membuktikan penuntut sengaja melakukan perbuatan haram menstrim program atau kandungan itu, atau menyebabkannya secara cuai, pembuktian yang lebih kukuh diperlukan berbanding sekadar menunjukkan akaun AstroGo milik penuntut digunakan untuk tujuan berkenaan,” katanya.
Anthony turut berkata, bukti carian ‘dark web’ oleh syarikat menunjukkan maklumat log masuk Chen tidak bocor — sekali gus digunakan membuat kesimpulan tiada pihak ketiga terlibat — bukanlah bukti muktamad mengenai kesalahannya.
Beliau berkata, saksi syarikat gagal menjelaskan bagaimana carian ‘dark web’ tersebut dijalankan.
“Selain kesimpulan sambil lewa dan andaian tidak berasas dibuat oleh syarikat, pihak syarikat juga tidak mengambil langkah lebih lanjut memeriksa atau menjalankan siasatan forensik ke atas semua peranti milik penuntut atau keluarganya bagi membuktikan sebarang kaitan antara penstriman haram berkenaan dengan pihak yang menuntut.
“Tiada bukti di hadapan mahkamah ini bahawa penuntut enggan bekerjasama dengan syarikat dalam perkara itu,” katanya.
Perkhidmatan Chen ditamatkan pada 24 Julai 2023, selepas 26 tahun berkhidmat tanpa sebarang rekod tatatertib.
Mahkamah mengarahkan dia dibayar tunggakan gaji berdasarkan gaji terakhir sebanyak RM9,880 sebulan bagi tempoh 22 bulan, berserta pampasan sebagai ganti pengembalian semula jawatan yang dikira pada kadar gaji sebulan bagi setiap tahun perkhidmatan, menjadikan jumlah keseluruhan RM474,240.
V Varunnath dan Tan Jing Yi mewakili penuntut, manakala Adrienne Sena bertindak sebagai peguam bagi pihak Astro.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.