Soompi“100 Days Of Deception” And “The Perfect Lie” Soar To Their Highest Saturday Ratings YetSözcüErzurum ve Ardahan'da sağanak hayatı olumsuz etkilediFree Malaysia TodayMCA may struggle to find new allies outside BN中国新闻网(寻味中华|节令)小雪纳物藏旧味 名泉入盏熨新寒The Indian Express9 pilgrims killed in Rajasthan’s Kota as vehicle crashes into parked truckThe Jerusalem PostFirst responders who fell in love after Bondi Beach massacre marry near sceneZDF heuteAktuelle Pressemitteilungen des ZDF20 MinutenNeuer Beschlusstext weiter ohne fossile EnergienSportstarZverev to face Alcaraz in championship match at the ATP FinalsDaily MailMiley Cyrus wedding photos: Singer, 33, tears up in elegant gown as she ties the knot with rocker Maxx Morando, 28, in stunning Palm Springs ceremony경향신문‘강릉 페이’ 부정 유통 단속···불법 환전 행위 등 집중 점검New Straits TimesFBI probes suspected hack of criminal information database
The Daily Newsstand · Free, Always
Sunday, November 22, 2026

Anwar, Zahid dan percaturan kuasa merebut Putrajaya

Translate

Selepas beberapa PRN pada 2026, ramai meramalkan Umno dan Perikatan Nasional (PN) akan bergabung untuk memenangi PRU akan datang dan membentuk kerajaan.

Kebanyakan penganalisis menjangkakan persaingan utama di Semenanjung hampir pasti melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan PN yang diterajui PAS. Ada juga berpendapat PRU16 akan berkisar pada isu yang sering menjadi pertikaian, termasuk hak orang Melayu, nilai Islam, prestasi ekonomi dan rasa tidak puas hati masyarakat bukan Melayu.

Pandangan itu mungkin ada benarnya, tetapi saya berpendapat pilihan raya kali ini lebih tertumpu kepada pertarungan strategi dan kebijaksanaan berpolitik antara Zahid dan Anwar.

Walaupun blok politik di Sabah dan Sarawak seperti biasa akan memainkan peranan penting dalam menentukan pembentukan kerajaan selepas pilihan raya, khususnya bagi mempertahankan autonomi negeri masing-masing, persaingan merebut Putrajaya tetap banyak bergantung pada keputusan di Semenanjung.

Dalam persaingan ini, PRU16 pada asasnya akan menguji keazaman dan kecekapan dua tokoh politik yang cukup berpengalaman mempertahankan kedudukan masing-masing di puncak kuasa.

Kekuatan utama Zahid terletak pada kebolehannya mengatur strategi politik. Beliau bijak menggunakan hubungan sebagai kelebihan dalam rundingan, menjadikan kenyataan terbuka sebagai isyarat tawar-menawar, selain mempunyai kepekaan terhadap percaturan kuasa yang mungkin sukar ditandingi ahli politik Malaysia masa kini.

Bagaimanapun, walaupun naratif ‘gelombang biru’ yang dibawanya mendapat sambutan kuat dalam kalangan pengundi Melayu, pengaruh itu tidak semestinya dapat menembusi kawasan bandar, kerusi bercampur dan kawasan majoriti bukan Melayu yang akhirnya turut menentukan majoriti di peringkat nasional.

Dalam hal ini, Umno masih bergantung pada kerjasama tradisi parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi persaingan di kawasan berbilang kaum.

Sebaliknya, kekuatan Anwar terletak pada dasar, keupayaan membentuk naratif dan ketahanannya mengharungi cabaran politik. Sebagai tokoh reformasi yang mempunyai kredibiliti antarabangsa serta hala tuju perjuangan jelas, Anwar telah melalui pelbagai kejayaan, kekalahan dan krisis sebelum akhirnya menjadi perdana menteri.

Kini, Anwar memilih strategi bertahan dalam persaingan jangka panjang dengan memanfaatkan kedudukannya yang mengawal belanjawan negara dan jentera pentadbiran untuk melengahkan pilihan raya, sedangkan Zahid berusaha mempercepatkan pertarungan tersebut.

Untuk memahami mengapa persaingan dua tokoh ini bakal mencorakkan PRU16, kita perlu melihat kembali bagaimana perjalanan politik mereka saling berkait sepanjang tiga dekad lalu.

Ketika perseteruan antara presiden Umno ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, dan timbalannya, Anwar, memuncak pada penghujung 1990-an, Zahid yang ketika itu ketua Pemuda Umno pada awalnya menyokong Anwar.

Namun, selepas Anwar dipecat pada 1998, Zahid segera mengubah pendirian dan berdamai dengan Mahathir. Tindakan itu memperlihatkan naluri politik yang sinonim dengan Umno, iaitu mengutamakan pertimbangan praktikal demi kelangsungan politik berbanding kesetiaan kepada seseorang pemimpin.

Sejak itu, Zahid mula mengatur langkah dengan teliti untuk meningkatkan pengaruhnya. Beliau mengukuhkan sokongan di Perak, membina rangkaian politik peribadi yang luas, sebelum menjadi timbalan presiden Umno dan akhirnya mengambil alih kepimpinan tertinggi parti itu pada 2018.

Selepas prestasi buruk Umno pada PRU 2022 apabila parti itu hanya memenangi 26 kerusi, Zahid berdepan desakan meletak jawatan.

Namun, beliau berjaya mengharungi tekanan itu, bekerjasama dengan Anwar untuk mendapatkan jawatan timbalan perdana menteri, dan menggunakan kedudukannya dalam kerajaan bagi mengembalikan pengaruh serta kepentingan Umno dalam politik negara.

Anwar pula meneruskan perjuangan politik jangka panjangnya dengan menubuhkan PKR, menggerakkan Reformasi dan memanfaatkan kebangkitan pembangkang pada pilihan raya 2008.

Beliau akhirnya mencapai perdamaian tidak mudah dengan musuh politik lamanya, Mahathir, bagi menumbangkan kerajaan pada 2018. Bagaimanapun, pengkhianatan politik menyebabkan kerajaan Mahathir tumbang, sekali gus membuka laluan kepada pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob yang masing-masing tidak bertahan lama.

Keputusan PRU 2022 yang tidak menghasilkan majoriti jelas akhirnya menemukan Anwar dan Zahid dalam kerjasama politik yang sebelum itu sukar dibayangkan.

Zahid memperoleh jawatan serta kelebihan sebagai sebahagian daripada kerajaan dan berkongsi kuasa dalam pentadbiran. Menjelang Disember 2025, Jabatan Peguam Negara memberikan beliau pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) daripada 47 pertuduhan rasuah berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Pengkritik mengecam langkah itu sebagai percaturan politik untuk melindungi sekutu dan mendapatkan kesetiaan, namun dakwaan tersebut berulang kali dinafikan.

Sejak itu, Zahid memperkukuh kedudukan Umno dalam kalangan penyokong Melayu dengan memainkan naratif perpaduan Melayu serta ancaman yang dianggap boleh menggugat dominasi politik orang Melayu.

Kerjasama taktikal antara PAS dan Umno yang terhasil daripada pendekatan itu memberi manfaat kepada kedua-dua parti.

Momentum tersebut dapat dilihat dalam PRN 2026, walaupun bentuk kerjasama berbeza mengikut negeri. Di Johor, BN memenangi 48 daripada 56 kerusi secara bersendirian, manakala penyokong PN secara senyap diarahkan menyokong BN di kerusi yang tidak ditandingi PN. Di Negeri Sembilan dan Melaka pula, BN dan PN secara rasmi membahagikan kerusi untuk ditandingi.

Seperti kebiasaannya, Zahid memastikan semua pilihan politiknya kekal terbuka dengan enggan memberikan komitmen terhadap kerjasama rasmi bersama PN pada PRU16.

Langkah itu strategi bijak yang memaksa PH dan PN sama-sama berusaha mendapatkan sokongan Umno.

Pada masa sama, Zahid turut memperkukuh cengkamannya dalam parti. Majlis Kerja Tertinggi Umno menangguhkan pemilihan parti sehingga selewat-lewatnya enam bulan selepas PRU16, manakala dasar pintu terbuka tanpa syarat membolehkan bekas pesaing seperti Khairy Jamaluddin dan Hishammuddin Hussein kembali ke pangkuan parti.

Zahid kini berusaha membina kerjasama politik yang lebih luas untuk menghadapi pilihan raya sambil memastikan kedudukannya sebagai pemimpin Umno tidak dicabar.

Pendekatan pragmatik itu turut terserlah apabila Zahid mengiktiraf penguasaan kukuh Gabungan Parti Sarawak (GPS) di negeri berkenaan.

Beliau mengesahkan BN tidak akan bertanding pada PRN Sarawak sebagai tanda menghormati autonomi politik Malaysia Timur, sekali gus membolehkan parti itu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persaingan di Semenanjung.

Sebaliknya, PH pimpinan Anwar berdepan pergolakan dalaman serius.

PKR menerima tamparan hebat apabila beberapa tokoh utama seperti Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meninggalkan parti untuk menubuhkan Parti Bersama Malaysia. Nurul Izzah pula mengambil cuti tanpa had daripada tugasnya sebagai timbalan presiden, manakala parti itu mengalami kekalahan besar di Melaka.

Peluang Anwar kini banyak bergantung pada masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya.

Penggal Parlimen bagi pentadbiran PH berakhir Disember 2027, manakala PRU16 perlu diadakan selewat-lewatnya Februari 2028 mengikut undang-undang.

Setiap bulan pilihan raya ditangguhkan memberi kelebihan berbeza kepada kedua-dua pihak. Zahid mendapat lebih banyak masa untuk mengukuhkan jentera politiknya, manakala Anwar berpeluang membuktikan keberkesanan langkah kerajaan dalam meringankan beban ekonomi rakyat.

Sekiranya Anwar berjaya menunjukkan perubahan ketara dalam menangani kos sara hidup menjelang akhir 2027 serta melaksanakan lebih banyak pembaharuan, sokongan pengundi berpotensi kembali kepada PH.

Selain itu, PH masih mempunyai kelebihan dari segi sokongan di kawasan bandar dan kerusi bercampur yang turut menentukan majoriti di peringkat nasional.

PRN lazimnya melibatkan komposisi pengundi yang kurang pelbagai dan lebih banyak kawasan majoriti Melayu. Oleh itu, pengaruh ‘gelombang biru’ tidak semestinya memberikan kesan sama apabila persaingan berlangsung di seluruh negara.

Tambahan pula, sokongan masyarakat bukan Melayu terhadap PH bukan semata-mata berpunca daripada kesetiaan tanpa berbelah bahagi, tetapi lebih didorong kebimbangan terhadap kemungkinan PN yang diterajui PAS mengambil alih kerajaan.

Ketika undi Melayu semakin tertumpu kepada BN-PN, pengundi bukan Melayu pula semakin cenderung menyokong DAP dan PH sebagai langkah mengimbangi pengaruh gabungan berkenaan.

Keadaan itu membolehkan PH terus kekal sebagai pencabar berdaya saing di peringkat nasional walaupun semakin kehilangan sokongan di kawasan tradisi Melayu.

Pada masa sama, rundingan pembahagian kerusi antara Umno dan PAS yang semakin rancak dijangka mendedahkan perpecahan mendalam dalam persaingan merebut undi Melayu-Islam.

Namun, di sebalik semua percaturan pilihan raya ini, Zahid masih dibayangi isu perundangan besar.

Pada Mei 2026, Mahkamah Rayuan membenarkan cabaran semakan kehakiman dibawakan Badan Peguam. Bulan lalu, Mahkamah Persekutuan pula memberi kebenaran kepada Zahid dan peguam negara untuk merayu.

Mahkamah Tinggi menetapkan pengurusan kes pada Jun 2027, manakala perbicaraan penuh ditangguhkan sehingga proses rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.

Isu perundangan itu terus menjadi ancaman kepada kedudukan politik Zahid dan hampir pasti akan dibangkitkan sebagai antara isu utama sepanjang kempen pilihan raya.

Akhirnya, PRU16 bakal menjadi medan persaingan antara dua tokoh yang mahir dalam percaturan politik.

Keputusan PRN pada 2026 menunjukkan Zahid kini memiliki momentum lebih kukuh.

Bagaimanapun, pengaruh Anwar terhadap penentuan masa pilihan raya, keupayaannya menggunakan dasar ekonomi serta perbezaan corak pengundian antara PRN dan PRU bermakna persaingan masih terbuka kepada kedua-dua pihak.

Apa yang bermula sebagai pertentangan antara perjuangan reformasi dan politik naungan kini berubah menjadi pertembungan antara kehebatan menggerakkan jentera parti dengan kebijaksanaan menggunakan institusi serta kuasa pentadbiran negara.

PRU akan datang tidak akan ditentukan oleh slogan atau janji semata-mata, tetapi oleh siapa yang lebih bijak mengatur strategi politik dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

Penulis boleh dihubungi menerusi [email protected].

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.