Meski masih sayang Paya Rumput, Rais pilih amanah tawan Sungai Udang

Walaupun masih menyayangi Paya Rumput yang pernah diwakilinya, Rais Yasin memilih menggalas amanah parti bagi membantu Barisan Nasional (BN) merampas semula Sungai Udang pada PRN Melaka.
Rais berkata beliau sudah tiga tahun dipertanggungjawabkan sebagai penyelaras DUN Sungai Udang selepas BN tewas kerusi itu dengan majoriti 530 undi pada PRN 2021.
“Saya sebenarnya sangat sayangkan DUN Paya Rumput, tetapi apabila diberikan amanah oleh parti, saya tidak boleh mengambil ringan tanggungjawab untuk memastikan Sungai Udang kembali dimenangi BN,” katanya dalam temu bual bersama FMT.
Rais yang juga ketua Umno Tangga Batu, berkata tempoh sebagai penyelaras membolehkannya memahami keperluan penduduk serta isu setempat, termasuk melibatkan komuniti Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau berkata hasrat untuk bertanding di Sungai Udang disuarakannya kepada Presiden Umno Zahid Hamidi sejak PRN 2021.
Bagaimanapun, katanya, keutamaan ketika itu diberikan kepada bekas ketua Umno Tangga Batu Mohamad Ali Mohamad yang turut mahu bertanding di kerusi berkenaan, manakala beliau diletakkan di Paya Rumput.
“Keutamaan diberikan kepada ketua bahagian ketika itu. Tambahan pula, pada 2021, Paya Rumput dianggap kerusi sukar dimenangi kerana saya perlu berdepan Shamsul Iskandar Akin.
“Alhamdulillah, saya diberikan peluang dan berjaya menang dengan majoriti tipis. Kali ini, hasrat saya untuk mewakili rakyat Sungai Udang akhirnya tercapai,” katanya.
Rais berdepan Abdullah Mahadi daripada Bersatu dan Mohd Ridzuan Abdul Rahman daripada Bersama dalam pertandingan tiga penjuru.
Menurutnya, pengalamannya menjaga Sungai Udang sejak tiga tahun lalu turut membolehkannya menangani beberapa isu tempatan.
Antaranya termasuk usaha menangani masalah bau sampah menerusi projek loji sisa kepada tenaga (WTE) berkapasiti 1,050 tan sehari, selain pembinaan masjid baharu dan Sekolah Rendah Agama Sungai Udang.
Beliau berkata Sungai Udang mempunyai keunikan tersendiri dengan lebih 9,000 daripada kira-kira 29,600 pengundi terdiri daripada warga tentera, namun tidak mahu mengambil mudah persaingan kali ini.
Abdullah pula mempertaruhkan pengalaman lebih 26 tahun dalam ATM, termasuk pernah berkhidmat di Kem Terendak bersama Briged Ke-10 Para, sebagai kelebihan untuk membawa suara warga tentera.
“Saya percaya bekas-bekas tentera atau mereka yang mempunyai latar belakang ketenteraan berpotensi diketengahkan sebagai pemimpin yang mewakili suara warga Sungai Udang,” katanya.
Abdullah berkata antara isu yang mahu diperjuangkannya ialah penyelarasan pencen pesara tentera sebelum 2013 dan pengiktirafan Pingat Jasa Malaysia.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.