2 pelajar maut nahas ke sekolah

Dua pelajar sekolah maut, manakala seorang lagi parah dalam nahas dua kenderaan di Taman Perpaduan Ria, dekat Tambun, pagi tadi.
Difahamkan, dua mangsa yang maut merupakan adik-beradik dipercayai dalam perjalanan ke sekolah, namun identiti mereka belum dikenal pasti.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba Tambun dikejarkan ke lokasi selepas menerima maklumat pada 7.22 pagi.
“Kemalangan jalan raya itu melibatkan dua kenderaan, iaitu kereta jenis Proton Saga dengan sebuah motosikal Yamaha EZ115.
“Kemalangan melibatkan tiga mangsa pelajar sekolah yang menaiki motosikal tersebut. Dua mangsa telah disahkan maut oleh pihak petugas kesihatan di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan parah dan dalam keadaan separa sedar,” katanya menurut Bernama.
Sabarodzi berkata, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, manakala mangsa cedera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan dengan operasi tamat kira-kira sejam kemudian.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.