Sasaran Februari 2027 RTS Link berkait rapat keselamatan dan kesediaan operasi

Sasaran Februari 2027 yang disemak semula bagi Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura patut dilihat untuk memberi masa secukupnya bagi jaminan keselamatan dan pengoperasian, bukannya tanda kelewatan infrastruktur, kata seorang pakar pengangkutan.
Pengasas merangkap penasihat kanan kepada badan pemikir pengangkutan MY Mobility Vision, Wan Agyl Wan Hassan, berkata RTS Link masih perlu menjalani ujian akhir sistem, ujian percubaan, pensijilan keselamatan bebas, dan kelulusan pengawalseliaan sebelum perkhidmatan penumpang bermula.
“Kita bukannya mengalami kelewatan infrastruktur, itu semestinya. Jika anda lihat dari sudut infrastruktur, Malaysia dan Singapura pada dasarnya sudah bersedia,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, RTS Link melibatkan pelbagai sistem dan prosedur operasi merentasi Malaysia dan Singapura, sekali gus menjadikan fasa ujian akhir ini cukup penting.
Dalam kenyataan bersama Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura mengesahkan kerja infrastruktur di kedua belah pihak hampir siap sepenuhnya, dengan projek itu kekal berada di landasan betul untuk menyokong perkhidmatan penumpang, sebaik sahaja ujian dan pentauliahan diselesaikan.
RTS Operations (RTSO), syarikat usahasama antara Prasarana Bhd dan SMRT Singapura, menjangkakan ujian sistem akhir dan ujian percubaan dapat diselesaikan menjelang 31 Dis, sebelum diberikan pensijilan keselamatan bebas serta kelulusan pengawalseliaan kedua negara.
“Apa yang tinggal kini melibatkan ujian sistem akhir dan percubaan operasi, diikuti pensijilan keselamatan bebas serta kelulusan pengawalseliaan daripada kedua negara. Jadi, proses ini penting dan tidak patut terburu-buru,” kata Wan Agyl.
“Lebih baik untuk mengambil masa diperlukan sekarang bagi memastikan sistem selamat dan andal daripada hari pertama. Jika tidak, kita akan ada masalah lebih besar untuk diuruskan.”
Menteri Pengangkutan Singapura Jeffrey Siow, berkata pasukan projek LTA berusaha memastikan stesen Woodlands North bersedia bagi perkhidmatan kereta api rentas sempadan, namun pensijilan keselamatan dan pelesenan masih belum diselesaikan mengikut jadual asal.
Kenyataan bersama Malaysia-Singapura tidak mengaitkan tarikh permulaan yang disemak semula itu kepada mana-mana negara, sebaliknya menyatakan lebih banyak masa diperlukan untuk baki proses ujian, pensijilan dan kawal selia.
Perkhidmatan penumpang, yang pada asalnya disasarkan pada Januari, kini dijangka bermula pada Februari 2027, tertakluk kepada RTSO memperoleh pensijilan keselamatan bebas dan kelulusan pengawalseliaan akhir Malaysia dan Singapura.
RTS Link sepanjang 4km itu bakal menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura, dan direka bentuk menampung sehingga 10,000 penumpang sejam pergi dan balik.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.