Belanjawan 2027: Setiap inisiatif pelaburan strategik, KPT komited laksana secara berkesan

Kementerian Pendidikan Tinggi komited memastikan peruntukan dan inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 dilaksanakan secara berkesan, telus dan berimpak tinggi.
Katanya, setiap inisiatif yang diumumkan merupakan pelaburan strategik bagi memastikan manfaat pendidikan tinggi dapat dirasai secara langsung oleh mahasiswa, graduan, warga akademia, institusi dan masyarakat.
“KPT yakin bahawa pelaburan ini akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global, sekali gus melahirkan generasi berilmu, berkemahiran, berakhlak dan berupaya memacu kemajuan negara,” menurut kenyataan.
Dalam Belanjawan Persekutuan 2027 yang dibentangkan semalam, KPT menerima peruntukan sebanyak RM19.1 bilion berbanding RM18.6 bilion pada tahun 2026, meningkat RM500 juta atau kira-kira 2.6%.
Daripada jumlah tersebut, RM15.13 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM3.96 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, merangkumi pelbagai inisiatif untuk memperkukuh prasarana, meningkatkan kualiti pendidikan, memperkasa penyelidikan dan inovasi serta menjaga kebajikan mahasiswa.
“Secara keseluruhannya, Belanjawan 2027 memperlihatkan pendekatan seimbang antara pembangunan prasarana, kebajikan mahasiswa, sokongan kepada graduan, pemerkasaan penyelidikan dan pembangunan bakat masa hadapan,” katanya.
Kementerian menarik perhatian peruntukan sebanyak RM800 juta untuk menaik taraf prasarana usang di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), termasuk kemudahan bilik kuliah, kediaman mahasiswa dan peralatan pembelajaran.
KPT berkata usaha itu diperkukuh melalui pembangunan Residensi Mahasiswa Universiti Malaya yang bakal menyediakan kemudahan penginapan berkapasiti 10,000 mahasiswa, serta pelaburan RM750 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) menerusi Projek Vista Kampus di enam IPTA.
Turut disentuh peningkatan bantuan subsidi tiket penerbangan FLYSiswa kepada RM500, yang dijangka memanfaatkan lebih 60,000 mahasiswa IPTA, khususnya dalam meringankan kos perjalanan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, Program Dapur Siswa MADANI di universiti awam serta memperluas pelaksanaannya ke politeknik dan institut pendidikan guru memastikan lebih ramai pelajar mendapat akses kepada makanan pada harga berpatutan sepanjang tempoh pengajian.
Insentif potongan cukai pendapatan sehingga 10% bagi sumbangan pihak luar kepada IPTA pula dijangka menggalakkan penglibatan sektor korporat, industri, alumni dan masyarakat dalam menyokong pembangunan universiti serta kesejahteraan warga kampus.
Dalam pada itu, KPT menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan fleksibiliti bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional yang dijangka memanfaatkan lebih 400,000 peminjam, antaranya penangguhan bayaran balik bagi peminjam berpendapatan bawah RM2,500 sebulan, bayaran minimum RM50 bagi mereka yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000, serta diskaun 10% kepada peminjam tanpa tunggakan yang membuat bayaran secara konsisten.
“Insentif potongan cukai kepada majikan yang membantu melunaskan pinjaman pendidikan pekerja turut mencerminkan pendekatan lebih menyeluruh dalam meringankan komitmen kewangan graduan,” katanya.
Sementara itu, KPT berkata penubuhan Dana UNIVC bernilai RM50 juta melalui kerjasama Kerajaan dan KWAP merupakan langkah strategik dalam merapatkan jurang antara penyelidikan, inovasi dan keperluan pasaran. Katanya, dana itu akan membuka lebih banyak peluang kepada penyelidik untuk menterjemahkan hasil penyelidikan serta harta intelek universiti kepada produk dan teknologi bernilai komersial.
“KPT komited memastikan setiap peruntukan dan inisiatif yang diumumkan dilaksanakan secara berkesan, telus dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 untuk membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif, berkualiti, berdaya saing dan berteraskan kemanusiaan,” katanya.
RPTM adalah rangka strategik 10 tahun bagi memperkukuhkan sistem pendidikan tinggi negara, dan sebahagian daripada gagasan besar reformasi pendidikan negara.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.