Uji kelemahan sistem pendidikan sebelum wajib budak 6 tahun ke Tahun 1, kata pakar

Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menggunakan tempoh dua tahun kemasukan secara pilihan murid enam tahun ke Tahun 1 untuk mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan sistem sebelum dasar itu diwajibkan pada 2029, kata pakar.
Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, tempoh 2027 dan 2028 tidak seharusnya sekadar menjadi persediaan pelaksanaan dasar, sebaliknya medan menguji keupayaan sistem pendidikan negara.
Katanya, penilaian perlu meliputi kualiti kurikulum, kesiapsiagaan guru, prasarana sekolah dan pendekatan pembelajaran yang sesuai dengan perkembangan kanak-kanak enam tahun.
“Kita juga perlu melihat kemampuan negara dari segi kualiti kurikulum, kesiapsiagaan guru, prasarana sekolah dan pendekatan pembelajaran yang bakal digunakan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas cadangan KPM mewajibkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun 1 mulai sesi persekolahan 2029, dengan persiapan dilaksanakan secara berterusan bermula tahun ini.
Pada 24 Nov lalu, Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad, berkata kemasukan murid enam tahun akan ditawarkan secara pilihan pada 2027 dan 2028 sebelum diwajibkan sepenuhnya pada 2029.
Effendi berkata, sistem persekolahan ketika ini masih berorientasikan akademik, sedangkan kanak-kanak enam tahun memerlukan pendekatan pembelajaran berasaskan bermain serta sokongan mengikut tahap perkembangan masing-masing.
Katanya, kemasukan pada usia itu boleh dilaksanakan, tetapi sistem pembelajaran perlu diubah supaya tuntutan akademik tidak membebankan kanak-kanak yang masih berkembang dari segi sosioemosi.
Beliau turut mengingatkan KPM, mengambil kira perbezaan tahap kematangan kanak-kanak, khususnya antara mereka di bandar dan luar bandar.
Menurutnya, pilihan memasuki Tahun 1 pada usia enam atau tujuh tahun juga boleh mencetuskan persaingan tidak langsung dalam kalangan ibu bapa, selain tanggapan bahawa kanak-kanak yang masuk awal lebih cemerlang.
“Tanpa saringan kematangan dan akses prasekolah lima tahun yang menyeluruh, dasar wajib ini berisiko melebarkan lagi jurang antara pelajar bandar dan luar bandar, serta menekan emosi murid yang belum bersedia.
“KPM dicadang menyediakan refleksi baik buruk bagi tujuan ini, kurikulum perlu ditekankan kepada pembentukan karakter dan nilai pada usia yang masih muda,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hasan, menyambut baik cadangan berkenaan tetapi menegaskan semua keperluan sistem pendidikan perlu dilengkapkan sebelum pelaksanaannya.
Katanya, prasarana, kurikulum dan kokurikulum perlu disediakan secukupnya bagi memastikan semua murid mendapat pendidikan holistik secara menyeluruh, sama rata dan saksama.
“Tempoh dua tahun ini wajar dimanfaatkan oleh ibu bapa dan penjaga untuk membuat pilihan sewajarnya. Pada masa sama, pastikan segala prasarana dan kemudahan sekolah benar-benar bersedia sebelum pelaksanaan kemasukan wajib murid Tahun 1 pada usia enam tahun pada 2029,” katanya.
Ali turut mencadangkan semua kanak-kanak mengikuti pendidikan prasekolah yang memenuhi piawaian dan kurikulum kebangsaan.
Beliau berkata, pendaftaran awal murid Tahun 1 bagi 2029 juga boleh dilaksanakan bagi mengenal pasti jumlah kanak-kanak yang bakal memasuki sekolah.
“Selain itu, kajian atau tinjauan perlu dijalankan untuk mengenal pasti jumlah kanak-kanak yang tidak berpeluang mengikuti pendidikan prasekolah,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.