Nik Nazmi mengaku ditahan Jais, pertemuan dengan wanita bincang projek

Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan beliau antara dua individu ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam kes individu bukan muhrim berdua-duaan di tempat tertutup di sini, 15 Okt lalu.
Bekas menteri sumber asli dan kelestarian Alam berkata, pertemuan itu bertujuan membincangkan projek bersama rakan-rakannya.
“Saya tidak mahu memanjangkan isu ini, sekadar menyatakan saya bersama rakan-rakan memulakan perbincangan di studio kami di Brickfields, Kuala Lumpur dan kemudian memutuskan untuk meneruskannya di Petaling Jaya kerana ingin melihat beberapa bahan berkaitan projek yang kami bincangkan,” katanya dalam kenyataan.
Nik Nazmi mengakui hanya dirinya dan seorang wanita berada di lokasi ketika pegawai Jais tiba, namun menegaskan mereka tidak melakukan perbuatan sumbang yang menimbulkan syak wasangka.
“Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan,” katanya sambil memohon maaf kepada isteri, keluarga serta semua pihak yang terkesan akibat kesilapan pertimbangannya.
Beliau turut berjanji memberikan kerjasama dalam sebarang proses perundangan.
Nik Nazmi juga memohon maaf kepada Parti Bersama Malaysia (Bersama) kerana mengecewakan ahli dan penyokong, selain menyatakan kesediaan menerima apa jua keputusan parti berhubung isu itu.
Beliau berharap semua pihak menghormati proses perundangan dan tidak memanjangkan perbincangan mengenai perkara itu menerusi media.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.