PAS tunggu penjelasan AGC berkait pembatalan lantikan 10 exco N Sembilan

PAS menyeru Jabatan Peguam Negara (AGC) segera mengeluarkan kenyataan menjelaskan status pembatalan pelantikan 10 exco Negeri Sembilan.
Ketua Penerangan Fadhli Shaari, berkata penjelasan itu wajar diberikan susulan AGC sebelum ini dilihat pantas mengeluarkan kenyataan berhubung kesahan proklamasi ditandatangani Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim.
Katanya, AGC turut mengeluarkan kenyataan berhubung isu penggantungan setiausaha kerajaan negeri (SUK) dan penasihat undang-undang negeri.
“Dalam isu proklamasi yang ditandatangani menteri besar Negeri Sembilan, AGC cepat buat kenyataan ia tidak sah.
“Dalam isu penggantungan SUK dan penasihat undang-undang negeri, cepat juga AGC keluarkan kenyataan ia tidak sah,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, berkata AGC sebaliknya dilihat masih berdiam diri berhubung pembatalan pelantikan 10 exco tersebut.
Katanya, penjelasan AGC penting kerana perkara itu berpotensi menjadi panduan dan rujukan kerajaan negeri lain pada masa akan datang.
“Perkara ini boleh menjadi panduan kepada negeri-negeri lain pada masa akan datang,” katanya.
Semalam, pembatalan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan itu diwartakan dengan warta berkenaan menyatakan pembatalan berkuat kuasa 20 Sept oleh Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Semua 10 bekas exco itu terdiri daripada tujuh wakil Umno iaitu Mustapha Nagoor (Palong), Faizal Ramli (Linggi), Zaiful Bahri Idrise (Chembong), Razi Ali (Sungai Lui), Asna Amin (Lenggeng), Siti Nur Umaira Hasim (Labu) dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).
Tiga lagi ialah Siow Kong Choon (Chennah) daripada MCA, Fairuz Isa (Serting) daripada PAS, dan Razali Abu Samah (Sikamat) daripada Wawasan.
Minggu lalu, barisan exco berkenaan mengeluarkan kenyataan didakwa mengesahkan penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar, sebelum disokong Ismail pada keesokan harinya.
Namun, tindakan itu dipertikaikan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan serta AGC.
Pada 20 Sept, Istana Negeri Sembilan mengumumkan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan ahli exco terbabit berkuat kuasa serta-merta.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.