Najib: Jangan lebih sudu daripada kuah, Pemuda Bersatu beritahu Wan Fayhsal

Pemuda Bersatu memberitahu Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara (Wawasan) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal agar tidak bertindak lebih sudu daripada kuah berkenaan bekas presiden Umno Najib Razak.
Ketua Penerangan Harris Idaham Rashid berkata bekas ketua Pemuda Bersatu itu kini seolah-olah berubah arah daripada seorang pengkritik tegar isu 1MDB kepada ‘juara tahanan buat Najib Razak’.
“Kupasan-kupasan bertulis beliau yang secara khusus membongkar struktur hutang 1MDB, isu bon Goldman Sachs, dan peranan ‘shell companies’ untuk menyeleweng dana rakyat adalah manifestasi idealisme anak muda yang tidak sepatutnya dicairkan, diubah hala, atau dikompromikan hari ini demi sebarang perkiraan politik jangka pendek.
“Oleh itu, kami ingin memperingatkan Wan Ahmad Fayhsal agar tidak bertindak lebih sudu daripada kuah atau menjadi lebih cenderung daripada Umno sendiri dalam memperjuangkan agenda melibatkan figura yang terkait dengan krisis integriti terbesar negara,” menurut kenyataan.
Pemuda Bersatu juga berkata kritikan terhadap Wan Fayhsal sama sekali tidak mempertikaikan kuasa mutlak institusi Agong, menegaskan keputusan Lembaga Pengampunan haruslah sentiasa dihormati dan dilaksanakan mengikut ketetapan prosedur yang sah.
Semalam, Wawasan mendesak kerajaan mendedahkan siapa yang bertanggungjawab dalam isu penangguhan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib.
Wan Ahmad Fayhsal berkata kerajaan wajib menjawab siapa yang mengarahkan ketua pengarah penjara menghentikan proses pemindahan, dan apakah peruntukan undang-undang yang membolehkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan pelaksanaan perintah pengampunan.
Beliau juga mahu tahu adakah perdana menteri atau mana-mana menteri terlibat atau dimaklumkan sebelum keputusan itu dibuat.
Kelmarin, Umno umum melunaskan denda RM50 juta dikenakan terhadap Najib selepas mengumpulkan dana menerusi kempen sumbangan. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian mengeluarkan perintah pelepasan selepas bayaran direkodkan, namun AGC mengeluarkan kenyataan pelaksanaan tahanan rumah wajar ditangguhkan sementara, bagi meneliti persoalan perundangan berkaitan perintah pengampunan dan kesan perintah mahkamah.
Peguam Najib berkata AGC tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan prerogatif pengampunan diraja, dan apa-apa persoalan mengenai perintah mahkamah perlu dibawa ke mahkamah.
Semalam, Istana Negara berkata semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat berkenaan telah dipenuhi dan tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran atau ketidakpastian berpanjangan mengenai pelaksanaannya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta Peguam Negara Dusuki Mokhtar segera menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bagi menjelaskan permasalahan sekitar pelaksanaan titah tahanan di rumah terhadap Najib.
Kelmarin, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menggesa kerajaan menjelaskan asas peraturan yang membolehkan pelaksanaan tahanan di rumah, agar rakyat memahami apa yang dimaksudkan dengan tahanan di rumah, dan mengetahui cara dan peraturan yang ditetapkan.
Najib dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Pada Januari 2024, pengampunan diraja mengurangkan separuh tempoh hukuman penjaranya dan jumlah denda kepada RM50 juta. Pada September tahun ini, satu lagi pengampunan bersyarat diberikan kepada Najib, yang membolehkan dia menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya Najib menyelesaikan pembayaran denda sebanyak RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.