KPN cadang Suhakam lantik pesuruhjaya keharmonian

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan mencadangkan supaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melantik seorang Pesuruhjaya Keharmonian bagi memberi tumpuan khusus kepada isu keharmonian sosial.
Cadangan itu menyusuli keputusan untuk tidak meneruskan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional (SKN) sebaliknya memperkukuh institusi dan mekanisme sedia ada bagi menangani isu berkaitan perpaduan.
Keputusan itu diumumkan Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang semalam selepas dua sesi libat urus dengan pelbagai pihak.
KPN dalam kenyataan berkata ia akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Suhakam bagi melihat peranan dan penyelarasan lebih berkesan dalam menangani isu keharmonian sosial.
Menurutnya, Suhakam sememangnya mempunyai fungsi berkaitan penyiasatan aduan pelanggaran hak asasi manusia serta memberi nasihat dan syor kepada Kerajaan berkaitan perundangan dan dasar, termasuk isu diskriminasi kaum dan agama.
“Kementerian juga akan mencadangkan kepada Suhakam pelantikan seorang Pesuruhjaya Keharmonian bagi memberi fokus khusus terhadap aspek pemantauan dan advokasi keharmonian sosial daripada perspektif hak asasi manusia,” katanya.
Dalam menjelaskan pendekatan itu, KPN berkata negara sudah mempunyai pelbagai undang-undang berkaitan kaum, agama, dan institusi diraja (3R), ucapan kebencian dan keharmonian sosial, menyebabkan penubuhan institusi atau perundangan baharu perlu dinilai bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan bidang kuasa.
Antara undang-undang itu ialah Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta peruntukan berkaitan dalam Kanun Keseksaan.
Kementerian sebaliknya berpandangan isu utama ketika ini ialah keberkesanan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.
“Pada pandangan kementerian, cabaran utama pada ketika ini bukanlah ketiadaan peruntukan undang-undang berkaitan 3R, tetapi sejauh mana peruntukan sedia ada dapat dikuatkuasakan secara tegas dan konsisten,” katanya.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) akan menilai secara menyeluruh keberkesanan peruntukan dan mekanisme penguatkuasaan undang-undang berkaitan 3R serta ucapan kebencian.
Jawatankuasa dipengerusikan ketua setiausaha KPN itu turut melibatkan rakan sejawat dari Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Komunikasi serta ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.
“Antara perkara akan diteliti ialah takrif 3R dan ucapan kebencian, bidang kuasa, pertindihan peruntukan serta keberkesanan tindakan penguatkuasaan di bawah undang-undang sedia ada,” katanya.
KPN turut akan memperkukuh pendekatan intervensi awal dan mediasi komuniti, dengan 617 Mediator Komuniti ditauliahkan setakat ini.
“Sebanyak 521 kes berkaitan komuniti dan kejiranan pula berjaya diselesaikan melalui mediasi tanpa proses mahkamah antara 2023 hingga 2026.
“Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) juga akan menyediakan Pelan Tindakan Memperkasa Ekosistem Keharmonian Sosial Negara merangkumi pencegahan, intervensi awal, mediasi, penguatkuasaan dan pemantauan,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.