BYD akan perkenal pelan EV Malaysia

Gergasi kenderaan elektrik (EV) dari China, BYD Co Ltd dijangka mengumumkan pelan pengembangan selanjutnya di Malaysia dalam tempoh seminggu, di tengah-tengah persoalan sama ada pembuat kereta itu akan bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan atau menubuhkan kemudahan pembuatannya sendiri.
Naib Presiden BYD Liu Xueliang, berkata syarikat itu akan terus meneroka kerjasama dengan rakan kongsi tempatan untuk menyokong pengembangan industri kenderaan tenaga baharu (NEV) Malaysia.
“Kami akan terus meneroka bersama rakan kongsi tempatan dalam bagaimana kami boleh menyokong pembangunan industri kenderaan tenaga baharu Malaysia dengan lebih baik. Sudah tentu, pengembangan kami di Malaysia juga telah meluas dengan positif. Tidak lama lagi, kami akan mengumumkan pendekatan kami ke arah pembangunan mampan,” katanya kepada media Malaysia selepas sesi Asia Pasific Story yang bertajuk ‘Stories of Industrial Integration’.
Ditanya sama ada BYD akan meneruskan kerjasama dengan rakan kongsi tempatan atau memilih pendekatan lain, Liu enggan mengulas, sebaliknya berkata: “Tunggu seminggu lagi dan kami akan umum.”
Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah minat yang meningkat terhadap langkah seterusnya BYD di Malaysia, terutamanya mengenai strategi pembuatan tempatan dan potensi perkongsiannya.
Pelan BYD telah menarik perhatian apabila Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekosistem EVnya sambil menggalakkan penyetempatan serta pelaburan yang lebih besar merentasi rantaian bekalan automotif.
Pada Mei lalu, dilaporkan BYD sedang menilai kerjasama pemasangan kontrak yang berpotensi dengan kilang Inokom milik Sime Motors di Kulim, Kedah, ketika pembuat kereta China itu mengkaji semula strategi pembuatan tempatannya di Malaysia.
Kemajuan cadangan kilang pembuatan BYD di Tanjung Malim, Perak, nampaknya terbantut setakat Mac tahun ini. Ini diikuti dengan kenyataan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) yang cuba menangani dakwaan tular berhubung syarat dikenakan ke atas lesen pengilangan BYD termasuk polisi lain berkaitan.
Sementara itu, mulai 1 Julai lalu, EV diimport atau dibina sepenuhnya (CBU) dikehendaki mempunyai nilai kos, insurans, dan pengangkutan (CIF) minimum yang diisytiharkan iaitu RM200,000 serta output kuasa minimum 245 kuasa kuda (180kw).
Keperluan baharu itu berikutan tamatnya pengecualian cukai khas Malaysia untuk EV CBU yang diimport pada penghujung 2025.
Liu berkata, BYD telah mengesahkan komitmennya terhadap pelaburan jangka panjang di Malaysia walaupun terdapat perkembangan yang menjejaskan kemajuan rancangannya, sambil mengenal pasti Malaysia Timur sebagai pasaran dengan potensi pertumbuhan ketara.
Beliau juga menegaskan, Malaysia Timur merupakan kawasan yang mempunyai ruang yang besar untuk pengembangan lanjut dan memiliki model kenderaan yang sesuai akan menjadi kunci dalam meluaskan kehadiran BYD di sana.
“Kami percaya Malaysia Timur masih mempunyai ruang yang besar bagi pengembangan tetapi pertama sekali, kami berharap untuk mempunyai model yang sesuai ke pasaran Malaysia Timur,” tambahnya.
Liu berkata, strategi BYD tertumpu kepada Malaysia secara keseluruhan dan tidak terhad kepada mana-mana wilayah tertentu.
Sesi itu diadakan sempena Forum Media Asia Pasifik (APMF) 2026, anjuran Agensi Berita Xinhua dan rakan kongsinya di bawah tema ‘Membina Laluan Menuju Kemakmuran Bersama untuk Komuniti Asia-Pasifik: Konsensus dan Tindakan Media’. Forum itu diadakan menjelang Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec ke-33, yang akan dihoskan oleh Shenzhen pada 18 hingga 19 Nov.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.