The Daily Newsstand · Free, Always
Thursday, October 8, 2026

28.8 juta pelancong: Momentum perlu diterjemah kepada pengalaman berkualiti

Translate

Malaysia merekodkan 28.8 juta pelancong antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, meningkat 1.8% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Angka ini menunjukkan sektor pelancongan negara terus bergerak dalam arah positif ketika Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 sedang diperkukuh.

Pada pandangan saya sebagai pensyarah dalam bidang pelancongan, pencapaian ini wajar dilihat lebih jauh daripada jumlah ketibaan semata-mata. Pertumbuhan 1.8% tetap positif, tetapi ia juga mengingatkan kita persaingan mendapatkan pelancong semakin sengit. Malaysia perlu memastikan setiap pertambahan ketibaan menghasilkan pengalaman yang lebih baik, tempoh tinggal yang lebih bermakna dan manfaat ekonomi yang lebih luas.

Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia, menyatakan prestasi itu mencerminkan daya tarikan berterusan Malaysia sebagai destinasi pelancongan serta kepentingan memperkukuh kerjasama pelancongan antarabangsa. Pandangan ini penting kerana daya tarikan sesebuah destinasi tidak boleh bergantung pada promosi sahaja. Ia perlu disokong oleh produk yang relevan, akses yang mudah dan pengalaman yang memenuhi jangkaan pelancong.

Malaysia mempunyai kelebihan dari segi kepelbagaian. Pelancong boleh memilih pengalaman bandar, makanan, budaya, alam semula jadi, pulau, acara dan aktiviti berasaskan komuniti. Cabarannya ialah bagaimana semua kekuatan ini disusun menjadi pengalaman perjalanan yang mudah difahami dan mudah dibeli oleh pasaran antarabangsa.

Pelancong hari ini membuat perbandingan dengan pantas. Mereka melihat harga, ulasan dalam talian, kandungan media sosial, kemudahan pengangkutan dan pengalaman pengguna lain sebelum membuat keputusan. Oleh itu, destinasi yang menarik tetapi sukar ditempah atau mempunyai maklumat yang tidak jelas boleh kehilangan pelancong kepada pesaing yang menawarkan proses perjalanan lebih mudah.

Dalam hal ini, kejayaan Tahun Melawat Malaysia tidak seharusnya diukur melalui jumlah ketibaan sahaja. Kita juga perlu melihat berapa lama pelancong tinggal, berapa banyak mereka berbelanja, berapa banyak destinasi yang dikunjungi dan sejauh mana perbelanjaan itu sampai kepada perniagaan serta komuniti tempatan.

Berita itu turut menyatakan sektor pelancongan menyumbang lebih 15% kepada keluaran dalam negara kasar. Akbal menjelaskan manfaat pelancongan melimpah ke seluruh rantaian nilai, daripada perhotelan dan perkhidmatan e-panggilan hingga pengusaha kraf tempatan dan restoran milik keluarga. Ini menunjukkan kesan pelancongan tidak berhenti di hotel atau lapangan terbang.

Sebab itu, pengagihan pelancong perlu diberi perhatian. Jika majoriti pelawat hanya tertumpu di beberapa destinasi utama, manfaat ekonomi juga akan tertumpu di lokasi yang sama. Pelancongan yang lebih seimbang memerlukan usaha menghubungkan pelawat dengan bandar sekunder, kawasan luar bandar dan produk komuniti yang benar-benar bersedia menerima pasaran.

Namun, membawa pelancong ke lebih banyak destinasi bukan sekadar isu promosi. Infrastruktur, pengangkutan, kebersihan, keselamatan, papan tanda, akses digital dan kualiti perkhidmatan perlu bergerak bersama. Destinasi yang dipromosikan secara agresif tetapi belum mempunyai kapasiti mencukupi boleh menghasilkan pengalaman negatif dan akhirnya menjejaskan reputasi.

Satu lagi perkara penting ialah kerjasama industri. Penganjuran pameran dan persidangan pelancongan, seni dan budaya antarabangsa atau INTACT 2026 menghimpunkan 154 pempamer dari 35 negara. Menurut Akbal, platform seperti ini penting untuk memperluas promosi bersama dan mewujudkan pengalaman pelancongan baharu yang memberikan manfaat kepada destinasi serta komuniti tempatan.

Saya melihat kerjasama seperti ini sebagai elemen yang perlu diperkukuh. Produk pelancongan jarang dapat dibangunkan oleh satu pihak sahaja. Hotel memerlukan akses pengangkutan, operator memerlukan produk tempatan, destinasi memerlukan pemasaran dan komuniti memerlukan saluran pasaran. Tanpa koordinasi, pelancong mungkin menerima pengalaman yang terpisah-pisah walaupun setiap pemain menawarkan perkhidmatan yang baik secara individu.

Kerjasama antarabangsa pula perlu menghasilkan lebih daripada pendedahan jenama. Pertemuan industri sepatutnya diterjemahkan kepada laluan pasaran baharu, pakej yang boleh dijual, hubungan dengan pengendali pelancongan dan peluang membawa pelawat ke destinasi yang sebelum ini kurang mendapat perhatian.

Pasa masa sama, Malaysia perlu menjaga kualiti pengalaman ketika jumlah pelawat meningkat. Peningkatan ketibaan memberi tekanan kepada pengangkutan, penginapan, tarikan dan tenaga kerja. Jika kapasiti perkhidmatan tidak berkembang seiring permintaan, angka ketibaan yang tinggi boleh disertai aduan, kesesakan dan ketidakpuasan pelanggan.

Atas sebab itu, industri perlu menggunakan data dengan lebih terperinci. Selain angka ketibaan, kita perlu membaca maklumat tentang kepuasan pelancong, aduan, tempoh tinggal, kunjungan semula dan pola perbelanjaan. Data sebegini membantu menentukan sama ada pertumbuhan yang berlaku benar-benar menghasilkan pengalaman yang lebih baik atau sekadar meningkatkan jumlah pengguna dalam sistem yang sama.

Bagi saya, angka 28.8 juta pelancong antarabangsa ialah petunjuk Malaysia mempunyai daya tarikan yang kukuh. Tetapi ukuran yang lebih penting selepas ini ialah kemampuan negara menukar momentum tersebut kepada kunjungan lebih berkualiti. Jika pelancong tinggal lebih lama, meneroka lebih banyak destinasi, berbelanja kepada lebih banyak perniagaan tempatan dan mahu kembali semula, barulah pertumbuhan ketibaan benar-benar menjadi pertumbuhan pelancongan yang bernilai dan mampan.

Penulis ialah pensyarah Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.