Takiyuddin beritahu JPPM mengapa Bersatu tak dipanggil untuk perbincangan

PAS tidak memanggil Bersatu, yang merupakan komponen Perikatan Nasional (PN), untuk perbincangan berhubung PRN Negeri Sembilan kerana kritikan parti itu terhadap PAS, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin berkata, beliau beritahu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bahawa keputusan Bersatu untuk bertanding menggunakan lambang sendiri merupakan satu lagi sebab parti itu tidak dipanggil.
“Saya dipanggil untuk memberi penjelasan, dan saya menjelaskan beberapa faktor kenapa parti itu tidak dipanggil untuk perbincangan,” katanya lapor Berita Harian.
“Kita mendapati banyak perkara tidak betul dilakukan parti itu pada PN bermula daripada PRN Johor. Mereka bertanding menggunakan logo sama, namun memburukkan kita.”
Takiyuddin berkata demikian ketika menyampaikan ceramah malam tadi. Takiyuddin juga memaklumkan bahawa beliau memberikan keterangan selama empat jam susulan aduan Bersatu.
Pada 11 Ogos lalu, JPPM memaklumkan ia menerima aduian rasmi daripada Bersatu, menyentuh dakwaan bahawa Bersatu tidak dibabitkan dalam mesyuarat MT PN pada 16 Julai lalu, dan isu kedudukan keanggotaan parti itu dalam PN.
PAS menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu pada Jun, dan mengumumkan akan meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Sebelum itu, pada Mei, Presiden Hadi Awang mengumumkan PAS akan menilai kerjasama dengan Bersatu setelah ia mengkaji satu persatu tindakan parti tersebut, mengambil contoh situasi politik di Negeri Sembilan dan Perlis, serta pendirian berkenaan usaha membawa masuk parti tertentu ke dalam PN.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.