Jangan rosakkan rundingan dengan PAS, Umno Kedah ingatkan Nur Jazlan

Umno Kedah mengingatkan Ahli Majlis Kerja Tertingginya (MKT) Nur Jazlan Mohamed supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan usaha kerjasama parti itu dengan PAS di negeri berkenaan.
Ketua Penerangannya Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata cadangan Nur Jazlan supaya PAS menyerahkan satu pertiga kerusi DUN di empat negeri ditadbirnya kepada Umno dikhuatiri boleh meretakkan hubungan kedua-dua parti yang sedang dirintis.
Menurutnya, Umno Kedah sudah mengadakan perbincangan awal dengan PAS dan setakat ini usaha berkenaan berjalan baik termasuk kunjungan kepada kepimpinan parti Islam itu pada 15 Sept lalu.
“Rata-ratanya mahu melihat kerjasama ini menjadi kenyataan dan bersifat menang-menang.
“Mohon Nur Jazlan jangan campur dan keluarkan kenyataan boleh meretakkan hubungan antara Umno dan PAS,” katanya kepada FMT.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan cadangan Nur Jazlan supaya PAS memberikan satu pertiga kerusi DUN kepada Umno di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis sekiranya kedua-dua parti serius mahu meneruskan kerjasama pada pilihan raya akan datang.
Beliau berpandangan PAS tidak perlu bertanding di semua kerusi di negeri berkenaan, sebaliknya memadai dengan dua pertiga kerusi bagi membuktikan keikhlasan parti itu menjayakan agenda penyatuan Melayu.
Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy berkata Kedah dan tiga lagi negeri dalam kumpulan SG4 mempunyai pendekatan tersendiri kerana kedudukan politik Umno di negeri berkenaan berbeza dengan negeri di selatan yang disifatkannya lebih selesa.
Menurutnya, keadaan itu menuntut Umno Kedah mengambil pendekatan berhati-hati dan tidak terburu-buru dalam membina persefahaman dengan PAS.
“Umno Kedah mahu memastikan suasana rundingan kekal tenang tanpa sebarang kontroversi, lebih-lebih lagi apabila perkembangan politik di Melaka turut memberi kesan kepada Kedah,” katanya.
Beliau merujuk kepada rundingan Umno dan PAS bagi PRN Melaka yang bakal berlangsung 14 Nov depan.
BN Melaka mahu mempertahankan 21 kerusi dimenanginya pada PRN 2021. Negeri itu mempunyai 28 DUN.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Tuan Ibrahim Tuan Man pada Jumaat berkata gabungan itu mahu bertanding lebih empat kerusi.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.