PRN Melaka: Perbezaan pandangan kerjasama uji kesatuan PH, kata penganalisis

Perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) mengenai keperluan bekerjasama dengan parti lain boleh menguji kesatuan gabungan itu menjelang PRN Melaka, bulan depan.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata pimpinan PH perlu mengurus pandangan pihak yang mungkin kurang yakin gabungan itu mampu bertanding sendiri dan mahu menjalin kerjasama bagi meningkatkan peluang kemenangan.
“Ini boleh mengganggu kesatuan PH untuk berhadapan PRN.
“Tetapi saya percaya pimpinan pusat boleh memainkan peranan menyelesaikan perbezaan itu,” katanya kepada FMT.

Beliau turut menekankan PH perlu lebih fokus kepada usaha meyakinkan pengundi bahawa DAP, PKR dan Amanah, mempunyai kekuatan mencukupi bersaing dengan lawan tanpa bantuan parti lain.
Kelmarin, Ketua DAP Melaka Khoo Poay Tiong berkata PH akan bertanding solo pada PRN Melaka tanpa sebarang pakatan pilihan raya bersama Bersatu mahupun gabungan lain.
Khoo yang juga timbalan pengerusi PH Melaka berkata, DAP, PKR dan Amanah pada peringkat negeri telah sepakat untuk bergerak secara bersendirian.
Kenyataan itu dibuat ketika pemimpin PH bercanggah pendapat berhubung kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan parti lain.
Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dilaporkan berkata, PH terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, Ketua Amanah Melaka Ashraf Mukhlis Minghat serta Pengarah Pilihan Raya PH Amirudin Shari menepis kenyataan Khalid.
Spekulasi turut timbul bahawa PH mungkin bekerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka, terutama selepas pemimpin peringkat negeri kedua-dua pihak makan malam bersama bulan lepas.
PRN Melaka bakal berlangsug pada 14 Nov, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Okt dan undi awal pada 10 Nov, mempertandingkan 28 kerusi DUN.
Syaza berkata pendirian DAP Melaka untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu sebagai langkah mempertahankan prinsip, mengambil kira sejarah parti itu meninggalkan PH sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan gabungan berkenaan pada 2020.

“Ramai penyokong akar umbi PH mungkin sukar menerima kerjasama dengan Bersatu, manakala pimpinan pusat dijangka dapat menghormati pendirian yang diambil di peringkat negeri,” katanya.
Shafezah Abdul Wahab dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula berkata keputusan PH Melaka untuk bergerak solo berpotensi mewujudkan perbezaan strategi antara pimpinan negeri dan pusat, namun tidak semestinya mencetuskan konflik.
Katanya, pimpinan negeri lebih memahami realiti politik dan sentimen pengundi tempatan, manakala pimpinan pusat perlu mengambil kira kepentingan lebih besar termasuk persediaan menghadapi PRU16.
“Persoalannya sejauh mana pusat bersedia memberikan ruang kepada PH Melaka menentukan strategi berdasarkan keadaan tempatan sambil memastikan ia tidak bercanggah dengan hala tuju nasional PH,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.