‘Hak’ Sarawak menuntut bukan lesen lemahkan Petronas, Zaid beritahu Lau

Sarawak berhak memperjuangkan hak perlembagaannya, namun bukan ke tahap sampai merombak sistem tenaga Malaysia sehingga menjejaskan Petronas, kata bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.
Zaid berkata, isu teras dalam pertikaian berterusan antara Petronas dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) menjurus sama ada sebarang penyelesaian politik dapat mengekalkan keupayaan Petronas menjalankan peranan nasionalnya, termasuk menjamin keselamatan tenaga negara.
“Tuntutan ke atas hak bukan secara automatik memberi lesen kepada mana-mana pihak mengubah struktur operasi sistem tenaga Malaysia sehingga melemahkan model bersepadu Petronas,” katanya kepada FMT.
Zaid berkata demikian mengulas kenyataan Senator Sarawak Robert Lau yang menolak perbandingan pertikaian Petronas–Petros dengan kontroversi Tabung Haji.
Lau berkata, tuntutan Sarawak berteraskan hubungan persekutuan–negeri, berpandukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan, serta pembahagian kuasa antara kerajaan persekutuan dan negeri ke atas sumber petroleum.
Beliau menolak pandangan pakar tadbir urus Walter Sandosam, yang disiarkan Malay Mail, antara lain memberi peringatan penyelesaian antara Petronas dan Petros mungkin berdepan isu kebertanggungjawaban pada masa depan, sekiranya berupa kompromi politik dan bukannya dibuat demi kepentingan nasional.
Sambil merujuk apa yang berlaku kepada TH dan Felda, Sandosam berkata, pembuat keputusan perlu berwaspada kerana perubahan landskap politik mampu menyebabkan keputusan berkenaan dinilai semula atas nama tadbir urus dan kawal selia.
Zaid bersetuju bahawa pertikaian Petronas-Petros tidak boleh disamakan dengan kontroversi TH.
“Pandangan Lau betul bahawa pertikaian Petronas-Petros tidak sama seperti skandal TH. Tiada dakwaan bahawa tuntutan Sarawak berpunca daripada rasuah atau salah urus.
“Tetapi, itu bukanlah maksud sebenar peringatan itu dibuat,” katanya.
Beliau berkata, isu pengagregat gas membawa implikasi lebih besar daripada sekadar simbolisme mahupun pendirian politik.
“Ia menyentuh mengenai siapa yang mengawal pengaturan komersial, pelanggan, bekalan, dan keupayaan untuk merancang pelaburan jangka panjang,” katanya.
“Sesiapapun boleh pertikai pemilikan atau kawalan ke atas stesen janakuasa; namun itu tidak bermakna seseorang boleh susun semula grid nasional ketika pertikaian masih belum selesai.”
Zaid berkata, operasi bersepadu Petronas menyokong pelaburan, kebolehpercayaan bekalan serta jaminan tenaga Malaysia secara menyeluruh, dan tidak patut dilihat sekadar model perniagaan persekutuan.
“Jadi, apa sahaja aturan baharu mesti diuji berdasarkan implikasi operasi dan komersialnya, bukan berdasarkan tarikan politik semata-mata,” katanya.
Zaid turut menyifatkan desakan Sarawak yang kononnya sekadar menuntut ‘hak mereka’ masih dipertikaikan dari sudut undang-undang.
“MA63, Perlembagaan Persekutuan, Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA), dan undang-undang negeri yang berkaitan memerlukan tafsiran undang-undang. Tuntutan Perlembagaan tidak sama dengan hak Perlembagaan yang telah dimuktamadkan,” katanya.
Menjawab dakwaan Lau di mana Seksyen 3 PDA memberi ruang untuk penyelesaian politik, Zaid berkata, tiada apa yang salah mengenai perundingan, namun memberi amaran supaya tidak membelakangkan peruntukan tersebut sebagai laluan mudah memberi konsesi.
“Seksyen 3 PDA mungkin menyediakan ruang untuk arahan dan penyelesaian politik. Tapi, itu bukanlah cek kosong membuat konsesi tanpa menjawab soalan utama: adakah aturan itu kekal memelihara keupayaan Petronas melindungi jaminan tenaga dan kepentingan nasional Malaysia?”
Beliau berkata, perbandingan dengan TH bukan berdasarkan anggapan dua pertikaian itu sama.
“Keputusan melibatkan institusi awam kelak dinilai berdasarkan kesan selepasnya, bukan hanya mengikut keadaan politik semasa ketika keputusan itu dibuat,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.