Sekolah di 3 daerah Perak ditutup akibat jerebu

Sekolah dan institusi pendidikan lain di tiga daerah Perak diarah tutup serta-merta akibat jerebu, selepas bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di Ipoh mencecah 180.
Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar, berkata penutupan itu membabitkan semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan di Kinta Utara, Kinta Selatan dan Kuala Kangsar.
“Sekolah perlu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah bagi memastikan kesinambungan pendidikan murid.
“Guru dan kakitangan sokongan perlu bekerja dari rumah sepanjang tempoh penutupan, tertakluk kepada arahan dan keperluan semasa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menggesa ibu bapa dan penjaga mengikuti pengumuman rasmi daripada Jabatan Pendidikan Perak untuk mendapatkan maklumat terkini, khususnya tarikh sekolah dibuka semula.
Mereka juga dinasihatkan tidak membuat andaian mengenai tarikh pembukaan semula sekolah dan hanya merujuk pengumuman rasmi jabatan itu.
“Pihak sekolah perlu terus memantau keadaan serta mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan.”
Perak menyusul Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Rompin di Pahang menutup sekolah akibat jerebu.
Di bawah arahan penutupan Kementerian Pendidikan, sekolah di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 180 perlu ditutup, manakala sekolah di kawasan dengan bacaan IPU melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut akan ditutup mulai 12 Okt ini.
Setakat 1 tengah tadi, Tasek Ipoh mencatatkan bacaan IPU 182, diikuti Pegoh di Ipoh (175), Tanjung Malim (174), Seri Manjung (159) dan Taiping (123).
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan tidak sihat, manakala bacaan melebihi 200 dianggap sangat tidak sihat.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.