Panama isytihar darurat akibat gempa bermagnitud 7.5

Panama mengisytiharkan keadaan darurat pada Sabtu bagi menyelaraskan usaha bantuan dan membantu komuniti terjejas akibat gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada Jumaat, lapor Xinhua.
Menteri Kepresidenan, Juan Carlos Orillac, pada sidang media di istana presiden berkata pengisytiharan itu akan memastikan agensi kerajaan sentiasa bersiap siaga dan mempunyai sumber diperlukan untuk membantu penduduk terjejas.
Katanya, Presiden Jose Raul Mulino mengarahkan penubuhan sebuah jawatankuasa bagi menyelaras operasi bantuan, mengurus sumber serta menangani keperluan komuniti terjejas.
Beliau berkata, kerajaan turut menubuhkan pusat pengumpulan sumbangan, termasuk di Omar Park di Panama City, manakala pejabat kerajaan wilayah akan dijadikan pusat pengumpulan tambahan.
Gempa bumi bermagnitud 7.5 melanda Panama pada 12.56 tengah hari Jumaat (waktu tempatan), dengan pusat gempa terletak kira-kira 39km ke barat laut Tonosi di wilayah Los Santos.
Gempa bumi itu merosakkan rumah, sekolah, kemudahan kesihatan, jalan raya dan bangunan awam di beberapa kawasan di seluruh negara.
Pihak berkuasa Panama terus menilai kerosakan dan menyelaras usaha tindak balas kecemasan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.