JPJ gantung kelulusan Chery Omoda 5 atas isu gandar belakang

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi Chery Omoda 5 dan menangguhkan pendaftaran baharu model itu sehingga siasatan teknikal selesai susulan insiden gandar belakang tercabut di Johor Bahru baru-baru ini.
Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, berkata langkah pencegahan awal itu dilaksanakan secara bersasar terhadap model dan varian berpotensi terjejas dengan isu keselamatan berkenaan.
“JPJ juga akan melaksanakan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan Chery Omoda 5 dan pembekal komponen gandar berkaitan, merangkumi pematuhan amalan pengilangan baik, sistem kawalan kualiti, prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan serta tahap keselamatan komponen yang digunakan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Chery Malaysia perlu mengenal pasti semua kenderaan yang berpotensi terjejas berdasarkan nombor komponen, kelompok pengeluaran, nombor casis (VIN) serta parameter teknikal berkaitan.
“Pemanggilan semula hendaklah dibuat terhadap semua kenderaan yang dikenal pasti berisiko bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan pembetulan sewajarnya.”
Tegasnya, penggantungan itu hanya akan ditarik balik selepas semua tindakan pembetulan dan pencegahan dilaksanakan sepenuhnya serta mendapat pengesahan JPJ bahawa segala risiko keselamatan telah ditangani.
“Jabatan ingin menegaskan tiada kompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
“Pengeluar bertanggungjawab memastikan setiap kenderaan yang dipasarkan memenuhi piawaian keselamatan dan keperluan teknikal ditetapkan.”
Gambar dan video tular di media sosial menunjukkan sebuah Omoda 5 terkandas di Jalan Pandan, berhampiran AEON Mall Tebrau City pada 6 Okt lalu, dengan gandar belakang dan roda tercabut daripada badan kenderaan.
Pada April 2024, insiden kegagalan gandar belakang yang sama membabitkan model Omoda 5 tular, mendorong siasatan JPJ dan 600 unit kenderaan dipanggil semula oleh Chery Malaysia.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.