Kaji dahulu sebelum boikot, kata ahli ekonomi

Rakyat Malaysia sepatutnya membuat kajian terlebih dahulu sebelum menyertai sebarang kempen boikot, bukannya bertindak terburu-buru mengikut tajuk berita atau dakwaan tular, kata seorang pakar ekonomi.
Merujuk kempen boikot McDonald’s dan kontroversi menyelubungi penglibatan BlackRock dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), pakar ekonomi Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata rakyat Malaysia perlu memastikan kebenaran fakta serta mempertimbangkan kesan meluas sebelum memutuskan menyokong boikot.
“BlackRock merupakan pelabur di Bursa Malaysia, ini bermakna ia mempunyai pegangan saham dalam banyak syarikat, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya pada Persidangan Komuniti Muslim Baharu 2026.
“Jadi, adakah anda cuba mengatakan kita perlu memboikot semua pihak?
“Anda perlu buat kajian. Malangnya, kita kurang mengkaji. Kita hanya melihat pada tajuk berita dan anggap itu sebagai kebenaran mutlak.”
Beliau berkata demikian menjawab soalan mengenai boikot produk terkait Israel.
Sebelum ini, rakyat Malaysia bertindak memboikot beberapa syarikat berikutan dakwaan kaitan mereka dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel susulan tindakan ketenteraan berterusan Tel Aviv di Gaza.
Razman, dari Putra Business School, berkata tiada satu pun syarikat beroperasi di Malaysia terlibat langsung dalam ketidakadilan dilaporkan di peringkat global.
Beliau berkata, isu tersebut kekal sensitif susulan kebimbangan terhadap kesan boikot ke atas pekerja tempatan.
Katanya, usaha perlu dibuat demi menentang ketidakadilan, namun beliau mengambil maklum kempen boikot lazimnya semakin surut selepas beberapa bulan.
Pengarah Urusan MBG Fruits Adnan Lee pula menyeru rakyat Malaysia mempertimbangkan kesan bokot secara meluas, sambil menyatakan pekerja di syarikat berkenaan juga bergantung kepada pekerjaan mereka demi menyara keluarga.
“Pekerja juga perlu memberi makan kepada keluarga. Kita tidak boleh terus terperangkap dengan isu tertentu hanya kerana terdapat trend untuk boikot,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.