4 maut kereta api tergelincir di Mesir

Empat penumpang maut, manakala 88 lagi cedera pada Ahad selepas beberapa gerabak kereta api penumpang tergelincir dan terbalik di Wilayah Giza, utara Mesir, lapor Anadolu Ajansi memetik Kementerian Kesihatan negara itu.
Kemalangan itu berlaku berhampiran Perkampungan Gerza di Daerah Al-Ayyat, di sepanjang laluan pertanian Kaherah-Aswan.
Kementerian memaklumkan 72 ambulans dikerahkan ke lokasi bagi operasi bantuan kecemasan.
Menteri Kesihatan, Khaled Abdel Ghaffar, mengarahkan semua kemudahan kesihatan di Wilayah Giza dan wilayah jiran, Beni Suef, meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta menyediakan rawatan kecemasan kepada mangsa cedera.
Kementerian itu turut berkata, pihaknya sedang memantau keadaan semua mangsa cedera dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa korban.
Egyptian National Railways memaklumkan kereta api No 134 yang dalam perjalanan dari Giza ke Fayoum merempuh bahagian belakang kereta api No 2010 Kaherah-Aswan antara stesen Kafr Ammar dan Al-Riqqa, menyebabkan beberapa gerabak tergelincir.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.