PRN Melaka: Di belakang tabir sudah ada formula, kata penganalisis

Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) disifatkan sudah ada formula di belakang tabir di tengah-tengah ketidaktentuan mencapai kerjasama menjelang PRN Melaka, kata penganalisis.
Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata berkemungkinan PH dan BN melihat persaingan di Melaka dijangka sengit dan sukar dibaca.

“Kedua, mungkin semua pihak menggunakan kenyataan bahawa rundingan masih ‘terbuka’ sebagai ‘leverage’ dalam rundingan.
“Tetapi, saya rasa di belakang tabir mungkin sudah ada formula,” katanya kepada FMT.
Namun, beliau melihat PH mempunyai satu ‘asas’ merujuk kepada pertemuan makan malam PH bersama Bersatu, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Felo Majlis Professor Negara Azmi Hassan, berkata kenyataan Pengarah Pilihan Raya PH Amirudin Shari yang masih membuka ruang perundingan dengan BN dan Bersatu berkait rapat strategi Umno dalam menentukan rakan kerjasamanya.
Katanya, Umno mungkin menggunakan keterbukaan terhadap PH sebagai strategi menekan PAS menerima cadangan kerjasama dengan BN.

“Perbezaan pendapat kenyataan antara Amiruddin dengan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad adalah kerana strategi Umno itu sendiri. Dan Pengerusi BN Melaka Ab Rauf Yusoh mengatakan bahawa rundingan itu sepatutnya berlaku minggu ini terpaksa ditunda minggu hadapan.
“Ingatlah ini strategi untuk memaksa PAS terutama sekali dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menerima cadangan Umno kalau nak bekerjasama dengan mereka. Kalau tidak, PH boleh bekerjasama dengan Umno dalam hal ini,” katanya.
Azmi berkata, Umno juga dilihat mahu menunjukkan bahawa selain PAS, BN juga mempunyai pilihan lain untuk bekerjasama bagi berdepan PRN Melaka.
Jelasnya, keadaan itu turut menyebabkan Amanah lebih berhati-hati terhadap kemungkinan kerjasama PH-BN kerana kekuatan Umno tertumpu di kawasan majoriti Melayu yang turut menjadi sasaran Amanah.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.